Rina Harun nafi dakwaan mempolitikkan isu bakul makanan

Eton Khir
Julai 4, 2021 07:16 MYT
Rina menjelaskan, bantuan bakul makanan diberi tanpa mengira status pemohon. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun menafikan dakwaan mempolitikkan isu bakul makanan dengan menolak permohonan seorang penduduk yang dipercayai dari Parlimen lain.
Sebaliknya beliau menjelaskan, bantuan bakul makanan diberi tanpa mengira status pemohon.
Pun begitu, beliau berharap mereka yang tampil memohon bantuan supaya bersifat jujur dan tidak menyekat rezeki orang yang lebih memerlukan.
"Dan di pusat khidmat saya juga, kita sentiasa ada juga sediakan gerobok rezeki dan yang datang memohon bantuan.
"Dan ada juga kes-kes yang tidak genuine. Dalam keadaan begini, kita harapkan kerjasama dari semua pihak terutamanya bagi mereka yang memerlukan tapi bagi mereka yang tidak memerlukan, kita tidak perlu menyekat rezeki lain," katanya ketika Program KPN@Kongsi Rezeki di Taman Maluri, pada Ahad.
Sebelum ini Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh mendakwa Rina mempolitikkan isu bakul makanan apabila menolak permohonan seorang penduduk dengan alasan pemohon bukan pengundi kawasannya.
Program Kembara Prihatin Negara@Kongsi Rezeki merupakan inisiatif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi menghulurkan bantuan kepada golongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Menurut Rina, program ini adalah hasil kerjasama KPWKM, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Yayasan Kebajikan Negara (YKN .
"Dan kerana kita tahu ramai yang terjejas maka kita tidak mahu ada yang terputus bekalan makanan. Jadi ini merupakan salah salu inisiatif kementerian supaya van Kembara Prihatin Negara ini boleh bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang memerlukan bantuan dan sebagainya.
"Jadi tadi saya telah menyerahkan bantuan yang diperlukan oleh mereka," katanya lagi.
Justeru, Rina berharap bantuan dan sokongan daripada kerajaan ini akan membantu meringankan beban dihadapi rakyat.
#jkm #Parlimen #KPN #warga emas #COVID-19 #pandemik #pelitup muka #Jabatan Kebajikan Masyarakat #KPWKM #bantuan
;