RIMUP gagal tepati tujuan asal - Dr Anuar

Faida Rahim
Jun 27, 2023 00:33 MYT
Dr Anuar memaklumkan, meskipun RIMUP merupakan usaha yang baik namun penglibatan bilangan murid yang kecil juga antara faktor ia gagal memberi impak.- Gambar fail/UKM
KUALA LUMPUR: Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) di sekolah rendah dan menengah di negara kurang berkesan sejak ia diperkenalkan pada 1986.
Menurut Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara, Dr Anuar Ahmad, kajian dijalankan Profesor Noriyuki Segawa dari Jepun pada 2019 menunjukkan RIMUP gagal memberi impak kepada agenda perpaduan kaum secara holistik.
Jelasnya, kajian yang diterbitkan menerusi buku berjudul "Hubungan Etnik Di Sekolah Malaysia" turut mendedahkan tiga faktor kegagalan menepati tujuan ia dilaksanakan.
"Kajian menunjukkan pengurusan pelaksanaan RIMUP ini tidak cekap, tidak berkesan dan dilaksanakan secara tidak bersungguh.
"Itu dari segi pengurusan. Maksud dari struktur pentadbirannya, dari segi bidang pelaksanaanya, dari segi bajet yang disediakan, tidak begitu berkesan. Jika kita ingin menjayakan RIMUP ini maka penstrukturan itu mesti dilakukan kepada pelaksanaan," katanya kepada Astro AWANI pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, meskipun RIMUP merupakan usaha yang baik namun penglibatan bilangan murid yang kecil juga antara faktor ia gagal memberi impak.
"Kurang daripada tiga peratus murid di sekolah-sekolah terlibat dengan RIMUP," katanya.
Katanya, faktor ketiga adalah tempoh pelaksanaan yang terlalu singkat sedangkan untuk menjayakan program secara berkesan memerlukan masa tiga sehingga ke lima hari untuk memperoleh kesan yang lebih baik
#RIMUP #Dr Anuar Ahmad #hubungan etnik #Noriyuki Segawa
;