Rider tuntut kadar upah perjalanan asal dikembalikan

Bernama
Februari 16, 2024 19:50 MYT
Wakil penghantar makanan sebuah syarikat p-hailing Mohd Adie Ali Nafiah (dua, kanan) menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pengangkutan yang diwakili oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Dr Nor Fuad Abdul Hamid. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Sekumpulan penghantar makanan sebuah syarikat p-hailing hari ini menghantar memorandum kepada Kementerian Pengangkutan bagi memohon bantuan serta campur tangan kerajaan dalam menyelesaikan isu penurunan kadar upah mereka.
Memorandum itu diserahkan wakilnya,Mohd Adie Ali Nafiah kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pengangkutan, Dr Nor Fuad Abdul Hamid di sini, yang turut dihadiri kira-kira 40 wakil penghantar makanan seluruh negara.
Mohd Adie, ketika ditemui pemberita, berkata beliau mahu syarikat p-hailing tersebut mengembalikan kadar upah dahulu iaitu RM5 bagi satu pesanan yang disifatkannya sebagai lebih baik berbanding hanya RM4 atau RM4.50 ketika ini.
"Kami (penghantar makanan) tidak berpuas hati dengan sistem baharu dan meminta syarikat ubah ke sistem sebelum ini. Ramai yang tidak setuju dengan kadar upah baharu yang bermula Januari lalu," katanya.
Tuntutan lain adalah meminta syarikat p-hailing itu menambah baik pemulangan bayaran pembatalan pesanan yang melibatkan pesanan tunai berikutan tempoh pemulangan ketika ini mengambil masa terlalu lama.
Sementara itu, Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor, yang turut hadir, berkata kerajaan perlu membantu dan mengambil tindakan bagi memastikan kebajikan penghantar makanan terus terjaga.
-- BERNAMA
#rider #hantar memorandum #Kementerian Pengangkutan #kadar upah
;