'Rider' Panigale cedera kemalangan, motosikal terbakar

Afiezy Azaman
Jun 14, 2020 09:58 MYT
Keadaan motosikal kuasa tinggi yang rentung selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan jenis SUV di Lebuhraya Mex. - JBPM
Seorang lelaki cedera selepas motosikal berkuasa tinggi ditungganginya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 4.3 Lebuh Raya Maju Expressway (Mex), pada Ahad.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.24 petang.
Seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak dibantu BBP Hang Tuah bergegas ke lokasi kejadian.
"Menurut Komander Operasi PBK ll, Mohd Nasir Ahmad Malik, setibanya jentera di lokasi pihaknya mendapati sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Ducati Panigale telah terbakar 95 peratus akibat kemalangan itu.
"Mangsa penunggang motosikal tercampak ke dalam longkang telah dinaikkan dan diselamatkan oleh anggota bomba, seterusnya dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), menggunakan jentera EMRS.
"Sebuah lagi kenderaan turut terlibat dalam kemalangan itu ialah kereta jenis SUV, Lexus yang dipandu seorang lelaki," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Mengulas lanjut, kenyataan itu menambah penunggang motosikal itu mengalami kecederaan di bahagian belakang manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
#ducati panigale #JBPM #kemalangan #kuasa tinggi #lebuh raya #mex #motosikal