'Rider' Foodpanda menangis dakwa dizalimi syarikat akibat gaji dipotong

Hilmi Malik
April 10, 2023 13:32 MYT
Menurut lelaki tersebut, dia terpaksa meminjam duit daripada ibu angkat untuk membeli motorsikal bagi membuat pekerjaan penghantar makanan. - Foto tangkapan layar akaun saifulxander
KUALA LUMPUR : Seorang penghantar makanan Foodpanda menzahirkan kekecewaan apabila mendakwa telah dizalimi oleh syarikat berkenaan berhubung soal pembayaran gaji.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di aplikasi media sosial TikTok, lelaki berkenaan mendakwa gaji yang sepatutnya diterima berjumlah RM800 bagaimanapun individu berkenaan mendakwa hanya menerima bayaran sejumlah RM500.
Menurutnya, perkara itu berpunca akibat tindakan membatalkan pesanan selain menyatakan akaun ‘ID’ juga telah digantung syarikat selama beberapa hari mengakibatkan individu itu tidak dapat membuat penghantaran.
“Dahlah nak dekat raya, RM300 itu terlalu besar, buat saya lebih-lebih dalam keadaan sekarang ini memang memerlukan duit.
“Rumah sewa saya di kampung sudah enam bulan tak dibayar, saya terpaksa pinjam RM1,000 daripada mak angkat untuk beli motosikal dan buat pekerjaan penghantar makanan,” luahnya menerusi rakaman video berkenaan.
Menurutnya, persoalan itu telah diajukan kepada syarikat berkenaan bagaimanapun Foodpanda katanya menyatakan soal pembayaran gaji dibuat dengan secukupnya selain isu penggantungan akaun (ID) adalah disebabkan kekerapan membuat pembatalan penghantaran.
“Saya dah emel Foodpanda maklumkan gaji saya tidak cukup dan tanyakan kenapa gantung akaun saya (ID).
“Dia (Foodpanda) memberi balasan, pendapatan tiada yang tidak cukup semua dibayar secukupnya… saya dah sertakan semua bukti tetapi dia maklumkan akaun digantung sebab selalu ‘cancel order’,” tambahnya.
Individu berkenaan yang baharu sahaja pulih daripada penyakit kanser tahap tiga mengharapkan rakaman berdurasi 180 saat itu mendapat perhatian syarikat terbabit.
Video yang dimuat naik di aplikasi TikTok menggunakan akaun saifulxander itu juga setakat ini telah mendapat sebanyak lebih 700,000 tontonan.
Dalam pada itu, Astro AWANI juga telah berjaya menghubungi individu berkenaan pada Isnin yang dikenali sebagai Muhd Saifuddin Mustafa, 28 tahun.
Ujarnya, kes berkenaan bukan perkara yang asing malah penghantar makanan yang lain juga turut berdepan nasib yang sama.
Ditanya mengenai respon syarikat berkenaan, lelaki yang berasal dari Kelantan itu juga memberitahu Foodpanda masih belum memberikan sebarang maklum balas berhubung isu terbabit.
Astro AWANI sedang mendapatkan pengesahan dari pihak Foodpanda berhubung perkara ini.
#potong gaji #FoodPanda #tidak dibayar gaji oleh Foodpanda #aplikasi TikTok
;