Ribut Tropika Trami: METMalaysia keluar amaran cuaca signifikan hingga 28 Oktober

Afiezy Azaman
Oktober 24, 2024 12:34 MYT
Amaran angin kencang dan laut bergelora bagi Laut China Selatan dan Laut Sulu berkuat kuasa sehingga 27 Oktober ini. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan ribut tropika Trami sedang aktif di Laut China Selatan dan dijangka bergerak ke Barat menghala ke Vietnam.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, MetMalaysia berkata, keadaan itu menyebabkan peningkatan kelajuan angin di rantau negara sehingga 28 Oktober ini.
Ini jelasnya, berpotensi membawa hujan berterusan di barat Sabah serta pembentukan garis badai di utara dan pantai timur semenanjung dalam tempoh tersebut.
"Sehubungan itu, MetMalaysia telah mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada bagi negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa sehingga 25 Oktober.
"Amaran angin kencang dan laut bergelora bagi Laut China Selatan dan Laut Sulu berkuat kuasa sehingga 27 Oktober ini," katanya.
Justeru, orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web MetMalaysia dan media sosial rasmi Met Malaysia serta muat turun aplikasi myCuaca untuk maklumat terkini.
#MetMalaysia #Trami #angin kencang #Laut China Selatan #terkini
;