Ribut 'terbangkan' pekerja gerai kuih

Sinar Harian
April 9, 2023 14:28 MYT
Keadaan tempat niaga Nur Afika Alia ketika hujan lebat berserta ribut pada Sabtu. -Foto Sinar Harian
PUCHONG: Seorang peniaga kuih kerugian lebih RM700 selepas jualannya rosak dalam kejadian ribut melanda Taman Puchong Prima pada Sabtu.
Peniaga berkenaan, Nur Afika Alia Che Hashim, 27, berkata, dalam kejadian sekitar jam 4.30 petang itu, khemah yang digunakan turut rosak diterbangkan angin kuat.
Menurutnya, dua pekerjanya berdepan detik cemas apabila salah seorang daripadanya melambung ditiup angin ketika menyelamatkan khemah daripada terbang.
"Pekerja baru selesai susun kuih di meja dan sedang tunggu pelanggan datang namun tak sangka ribut yang datang lebih awal.
"Kejadian menyebabkan semua kuih tidak dapat dijual, ada yang dah terkena hujan dan rosak.
"Kami tidak dapat niaga pada hari kejadian kerana, mana-mana kuih yang masih elok disedekahkan kepada orang awam," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Dia yang baru setahun berniaga berkata, kejadian tersebut merupakan kali kedua berlaku dalam tempoh Ramadan ini.
"Kali pertama ketika hujan batu ketika awal Ramadan. Kejadian itu menyebabkan khemah rosak. Kira ini kali kedua saya beli khemah baharu dalam bulan Ramadan ini.
"Saya agak trauma namun anggapnya sebagai dugaan Ramadan.
"Hari ini akan berniaga seperti biasa cuma kuantiti kuih dikurangkan kerana risau jika keadaan berulang memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini," katanya.
Katanya, walaupun diuji namun dia tetap akan meneruskan perniagaan kerana memerlukan duit bagi persediaan Aidilfitri.
"Memang tengah nak pakai banyak duit untuk baiki kereta dan modal untuk pulang berhari raya di Kelantan.
"Tengok keadaan akan berniaga sampai berapa Ramadan. Jika duit masih tidak mencukupi, mungkin akan teruskan hingga malam raya," ujarnya.
Sementara itu, seorang pengusaha taska di Taman Putra Perdana, Amira Othman, 37, berkata, dia terpaksa menyediakan sekurang-kurangnya RM10,000 bagi menggantikan bumbung depan taska yang patah susulan kejadian tersebut.
"Saya ketika kejadian pergi ke Cyberjaya kerana ada urusan sebelum dua guru taska yang tinggal di pusat asuhan berkenaan hubungi saya memaklumkan kejadian sekitar jam 4.30 petang.
"Kerosakan hanya libatkan bumbung dan bernasib baik, motosikal guru yang diletak berhampiran runtuhan tidak mengalami sebarang kerosakan," katanya.
Amira berkata, pihaknya dalam usaha mengganti bumbung berkenaan dalam keadaan segera bagi membolehkan operasi taska berjalan seperti biasa.
"Saya sudah hubungi tukang namun kerja tidak dijalankan terus memandangkan banyak kedai ditutup pada Ahad.
"Buat masa ini kami usahakan untuk kosongkan tempat terjejas. Jika sempat alihkan, taska akan beroperasi seperti biasa kerana faham ibu bapa bekerja pada Isnin, jadi masalah untuk uruskan anak, " katanya.
Katanya, taska tersebut telah beroperasi selama lima tahun dan menjaga 40 anak-anak di sana.
Pada Sabtu, beberapa kawasan di Puchong dilanda ribut menyebabkan berlaku beberapa kejadian kereta dihempap pokok tumbang selain turut menjejaskan operasi peniaga bazar dan kerosakan di masjid berhampiran.
Bagaimanapun, tiada insiden kecederaan dan kehilangan nyawa dilaporkan dalam kejadian tersebut. -Sinar Harian
#ribut #peniaga #Taman Puchong Prima #Nur Afika Alia Che Hashim
;