'Ribut suria fenomena biasa, tak perlu panik'

Sinar Harian
Disember 28, 2023 08:30 MYT
Bumi dijangka akan dilanda ‘solar storm’ yang kuat pada tahun depan. - Gambar hiasan
KUALA NERUS: Orang ramai dinasihatkan tidak perlu panik mengenai ribut suria atau 'solar storm' pada tahun hadapan seperti mana dakwaan fungsi jaringan internet terjejas yang tular di aplikasi media sosial baru-baru ini.
Pengarah Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Ts Dr Roslan Umar menjelaskan, ribut suria merupakan fenomena yang biasa dan kerap berlaku.
"Bumi akan dilanda ‘solar storm’ yang kuat pada tahun depan selain saintis meramalkan kita akan mencapai 'solar maximum' (solar maksimum) pada 2024 dengan suar (nyalaan api) yang cukup kuat bagi melumpuhkan internet di dunia selama beberapa minggu.
"Fenomena ribut suria ini sentiasa berlaku. Orang awam tidak perlu panik dengan berita viral tersebut kerana fenomena itu biasa dan sentiasa terjadi cuma bezanya adalah lemah dan kuat sahaja.
"Kesan ribut solar ini boleh dilihat pada kejadian aurora di kawasan kutub bumi, malah aurora itu sebenarnya merupakan bukti kewujudan fenomena tersebut," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Roslan menyatakan kesan ribut solar kepada bumi dan manusia antaranya boleh menganggu medan magnet bumi serta menghasilkan Geomagnetically Induced Currents (GIC) yang boleh menganggu bekalan kuasa dan elektrik di bumi disebabkan cas yang berlebihan.
Bagaimanapun, beliau berkata, kesan akibat ribut suria tersebut terlalu lemah dan ini berdasarkan rekod-rekod kejadian yang lepas.
"Kesan lain yang boleh dilihat adalah ganguan kepada sistem telekomunikasi gelombang radio atau dikenali sebagai ganguan ionosfera mendadak (SID).
"Sebenarnya penduduk di dunia ini bertuah kerana ALLAH SWT telah melindungi bumi dengan lapisan atmosfera dan medan magnet tersendiri di sekelilingnya," jelas beliau.
Sebelum ini, saintis-saintis mengeluarkan amaran mengenai fenomena ribu solar dahsyat yang diramalkan berlaku pada awal tahun depan.
Berdasarkan laporan laman berita news18.com menyatakan beberapa penemuan baharu, ribut solar berkenaan akan cukup kuat untuk mengganggu liputan internet di Bumi selama berminggu-minggu disebabkan oleh medan magnet matahari.
Satu kajian tersebut menyatakan bahawa ribut solar itu berlaku ketika kemuncak kitaran aktiviti Matahari yang dikenali sebagai Suria Maksimum.
Perkara itu menimbukan kebimbangan dalam kalangan netizen dan ada yang mendakwa urusan secara dalam talian tidak berfungsi malah bumi bergelap selama 17 hari dan suhu dunia akan jatuh.
Ada juga yang mengaitkan fenomena ribut suria yang dijangka melanda bumi bermula awal tahun hadapan dengan hari kiamat.
Pada 23 Disember lepas, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menyatakan tidak wajar mengaitkan fenomena ribut suria yang dijangka melanda bumi bermula awal tahun hadapan dengan hari kiamat.
Menurut Wan Salim, fenomena alam dengan keadaan bumi bergelap untuk tempoh-tempoh tertentu merupakan satu fenomena biasa yang bukan pertama kali berlaku dan boleh dijangka kejadian seterusnya oleh para ahli astronomi.
Malah jelasnya, fenomena itu merupakan sebahagian daripada aktiviti rutin matahari. - Sinar Harian
#ribut suria #solar storm #fenomena biasa #jaringan internet
;