Ribut: Pokok tumbang hempap rumah, kedai makan di Alor Pongsu
Abd Razak Mohd Ali
Mac 25, 2023 23:57 MYT
Mac 25, 2023 23:57 MYT
BAGAN SERAI: Sebuah rumah dan kedai makan di Kampung Jalan Baru, Alor Pongsu, dekat sini, dihempap pokok tumbang dalam kejadian hujan lebat disertai ribut, petang tadi.
Kejadian turut menyebabkan bumbung dua buah rumah diterbangkan.
Mangsa, Anis Suraya Aziz, 29, berkata, ketika kejadian, dia berada di rumah adiknya yang terletak kira-kira 10 meter dari kediamannya.
"Masa kejadian hujan turun dengan lebat berserta angin kencang, tapi tak sangka pula pokok yang ada berhampiran tumbang menimpa rumah,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, ketika kejadian, dia berada di rumah adiknya dan bersiap-siap menghantar mi rebus ke tapak bazar Ramadan.
Katanya, kedai makan yang diusahakan selama ini musnah sama sekali manakala sebahagian daripada rumahnya turut musnah.
"Saya tergamam bila melihat keadaan rumah dan kedai musnah macam ni.
"Namun saya bersyukur, ketika kejadian saya bersama dua orang anak tidak ada didalamnya,” ujarnya.
Tambahnya, segala barang masakan mi rebus yang telah siap untuk dijual di bazar Ramadan juga musnah.
Katanya, anggaran kerugian yang dialami olehnya mencecah hampir RM40,000 dan dalam keadaan sekarang, sukar baginya dan keluarga untuk membaiki kerosakan yang berlaku.
"Saya merayu kepada pihak-pihak berkenaan agar dapat membantu kami membaik pulih semula rumah berserta kedai makan ini.
"Kedai makan ini merupakan satu-satunya tempat saya mencari rezeki dalam membantu menambah pendapatan kami sekeluarga,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Noor Azman Ghazali berkata, pihaknya akan memajukan perkara ini kepada pihak yang berkenaan untuk tujuan baik pulih.