Ribut petir hampir setiap petang bukan cuaca ekstrem - MetMalaysia
Bernama
April 14, 2021 14:53 MYT
April 14, 2021 14:53 MYT
KUALA LUMPUR: Keadaan hujan lebat dan ribut petir yang melanda di kebanyakan kawasan pantai barat Semenanjung ketika ini bukan perkara luar biasa atau cuaca ekstrem, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon.
Jelas beliau, keadaan cuaca itu berikutan negara kini berada dalam fasa peralihan monsun yang kebiasaannya menyebabkan hujan lebat atau ribut petir untuk waktu singkat, pada waktu petang dan awal malam.
"Setiap tahun perkara (ribut petir) ini berlaku sebenarnya dan selain kilat, ia kadangkala membawa angin kencang sehingga boleh merosakkan struktur bangunan atau pokok tumbang dan sebagainya.
"Agak sukar untuk kami mengatakan cuaca sekarang semakin ekstrem... ini kerana ribut petir sebagaimana yang berlaku semalam (di Kuala Lumpur) pernah berlaku sebelum ini," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian banjir kilat di beberapa kawasan sekitar ibu kota semalam, susulan hujan lebat dan ribut petir berterusan sejak 4.30 petang.
Banjir kilat itu menyebabkan kenderaan ditenggelami air serta kesesakan lalu lintas, malah di media sosial juga, orang awam turut berkongsi visual kesan kerosakan harta benda selain struktur bangunan, termasuk gerai khemah peniaga bazar Ramadan roboh dan cermin bangunan pecah akibat dibadai ribut.
Jailan berkata, dalam keadaan ribut petir, angin kencang boleh mencapai kelajuan melebihi 100 kilometer per jam (km/j) yang boleh menyebabkan pokok tumbang serta kerosakan pada struktur bangunan.
Beliau berkata, MetMalaysia meramalkan keadaan cuaca tersebut akan berterusan untuk tempoh beberapa hari akan datang dan pada minggu hadapan, situasi cuaca itu dijangka berkurangan.
"Pada minggu depan, keadaan ini mungkin berkurangan apabila angin mula berubah, namun orang ramai termasuk peniaga serta pengunjung di bazar Ramadan dinasihat untuk lebih berhati-hati dan memantau keadaan cuaca," katanya.
Berdasarkan laporan tinjauan cuaca jangka panjang MetMalaysia pada 30 Mac lepas, fasa peralihan monsun bermula pada 16 Mac dan berterusan sehingga pertengahan Mei 2021 yang menandakan berakhirnyafasa Monsun Timur Laut sejak 11 Nov lepas.
Dalam tempoh itu, Malaysia menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang menyebabkan pembentukan ribut petir yang lazimnya melanda negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, baratSabah serta barat dan tengah Sarawak.
Keadaan cuaca tersebut berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh. - BERNAMA