Ribut petir disebabkan perubahan pergerakan angin - MetMalaysia
Isabelle Leong
Mac 11, 2019 20:35 MYT
Mac 11, 2019 20:35 MYT
Ribut kuat yang melanda sekitar Lembah Klang, khususnya Putrajaya dan Shah Alam pada hujung minggu disebabkan perubahan angin dari Timur Laut.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), kejadian yang dikenali sebagai ‘Monsoon Break’ dijangka berkurangan bermula Selasa hingga hujung minggu ini, tetapi dijangka kembali pada penghujung Mac.
Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata Malaysia yang beriklim tropika terdedah kepada ribut petir dan ia kebiasaanya berlaku pada sebelah petang.
“‘Monsoon Break’ ini biasanya berlaku tiga hingga empat hari.
“Dalam situasi yang berlaku sekarang, ia akan mula berkurangan pada esok, Selasa. Mungkin petang ini akan ada tempat yang mengalami ribut petir yang kuat. Insya-Allah bermula esok, sampai ke hujung minggu.
“Mengikut carta cuaca terkini, dijangka tiada lagi ribut petir yang kuat pada sebelah petang seperti apa yang kita alami pada hari minggu yang lalu,” kata Mohd Hisham ketika dihubungi Astro AWANI.
Tambahnya, negeri yang akan terkesan ialah Johor, Perak serta Kedah dan impaknya dijangka tidak seburuk seperti di Lembah Klang.
“Kawasan yang paling terkesan dengan ribut petir ini adalah di Lembah Klang.
“Sebagaimana yang berlaku di Putrajaya pada Sabtu dan Shah Alam pada Ahad lalu, ia adalah sesuatu yang biasa berlaku.
“Lebih-lebih lagi memasuki fasa peralihan monsun yang dijangka akan bermula penghujung Mac,” tambahnya.
Pada hujung minggu lalu, Putrajaya dan Shah Alam dilanda ribut kuat, mengakibatkan ratusan pokok tumbang sehingga menghalang jalan raya.
Sementara itu, beliau berkata beberapa negeri di utara semenanjung diramal akan mengalami kemuncak suhu panas mencecah sehingga 38 darjah celsius.
Beliau memaklumkan ia dijangka berlaku pada akhir Mac atau seawal April susulan fasa penghujung monsun Timur Laut.
“Negeri utara iaitu Perlis, Kedah dan juga utara Perak akan mengalami cuaca paling panas disebabkan oleh faktor kurangnya awan. Oleh itu, pancaran matahari lebih banyak berada di sana, berbanding tempat lain,” katanya.
#Jabatan Meteorologi Malaysia
#MetMalaysia
#Mohd Hisham Mohd Anip
#Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional MetMalaysia
#Timur Laut