Ribut petir dijangka landa hampir semua negeri petang ini
Bernama
Oktober 4, 2024 15:32 MYT
Oktober 4, 2024 15:32 MYT
KUALA LUMPUR: Ribut petir atau hujan lebat diramal berlaku di hampir semua negeri hingga 4 petang ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
Menerusi amaran dikeluarkan pada 1.45 tengah hari ini, METMalaysia memaklumkan ribut petir atau hujan lebat dijangka melanda seluruh Perlis, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka.
Keadaan cuaca sama dijangka melanda sebilangan besar Sabah termasuk Sipitang, Tenom, Beaufort, Keningau, Nabawan, Tambunan, Kinabatangan, Beluran serta Sandakan selain di Terengganu iaitu di Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.
Di Perak, keadaan sama dijangka berlaku antaranya di Larut, Matang, Selama, Kuala Kangsar, Kampar, Kinta dan Muallim; Selangor (Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang) serta Pahang (Jerantut dan Maran).
METMalaysia turut meramalkan cuaca sama di Negeri Sembilan iaitu Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin; Johor (Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat dan Pontian) serta Kuala Krai di Kelantan.
Turut dijangka mengalami ribut petir dan hujan lebat adalah Kuching, Samarahan, Betong, Sarikei, Mukah, Miri dan Limbang di Sarawak.
-- BERNAMA