Ribut Perlis: 38 sekolah alami kerosakan

Bernama
September 18, 2018 16:34 MYT
Beberapa anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis melakukan kerja-kerja memotong pokok yang tumbang akibat ribut ketika tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Perlis hari ini. - BERNAMA
Sebanyak 38 buah sekolah di Perlis mengalami kerosakan akibat ribut yang melanda negeri ini malam tadi kata Ketua Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis Sharifah Azatul Imma Syed Aziz.
Menurutnya semua sekolah termasuk 14 sekolah menengah adalah di kawasan Kangar dan Kuala Perlis.
"Kebanyakkan sekolah alami kerosakan selepas atap tercabut dan perabung rosak. Semua guru dan pelajar diarahkan duduk di tempat selamat di samping guru turut diarah mengawasi kawasan terbabit," katanya kepada pemberita selepas meninjau kerosakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Perlis di sini, hari ini.
Sharifah Azatul Imma berkata terdapat pokok besar tumbang di beberapa sekolah, namun tiada kerosakan serius dilaporkan dan kerja-kerja pembersihan sedang giat dijalankan.
Menurutnya semua pelajar dan guru di semua sekolah terbabit meneruskan sesi pembelajaran seperti biasa.
"Buat masa ini jumlah terperinci berkenaan kerugian sedang disiasat dan akan terus dihantar ke Kementerian Pendidikan untuk tindakan selanjutnya," katanya. -- Bernama
#Kangar #ribut perlis #sekolah
;