Ribut Langkawi: Bangunan rosak dibadai angin kencang, kenderaan ditimpa pokok

Adie Sufian Zulkefli
Ogos 9, 2019 22:03 MYT
Antara kenderaan yang mengalami kerosakan teruk akibat ditimpa pokok yang tumbang sewaktu ribut pada Jumaat. - Media sosial
Hujan lebat beserta angin kencang melanda di beberapa kawasan di Pulau Langkawi pada malam Jumaat.
Dalam kejadian yang berlangsung kira-kira 15 minit itu, para peniaga serta pelancong yang berada di kawasan terjejas bertempiaran lari.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Langkawi, Kapt. (PA) Ahmad Shahfikri Darus, kejadian kira-kira jam 8 malam itu berlaku dengan pantas.
Antara kawasan terjejas adalah Kedawang, Bohor, Padang MatSirat, Ayer Hangat, Kuah dan Ulu Melaka.
Hujan lebat beserta angin yang kencang menyebabkan beberapa buah rumah dan kenderaan telah ditimpa pokok.
Selain itu jalan-jalan utama juga terdapat pokok yang tumbang dan menghalang lalu-lintas.
Ketika ini beberapa agensi sedang melakukan bancian dan kerja bantuan antaranya Pejabat Daerah Langkawi, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini bagaimanapun kerja-kerja penyeliaan dan pembersihan sedang dilakukan ketika ini.
#cuaca buruk #keselamatan #pantai cenang #pelancong #pulau langkawi #ribut
;