Ribut kuat dan ombak tinggi, kami terpaksa catu makanan - Pemancing hilang

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 11, 2019 05:16 MYT
Khairul Anuar dan Khairil Hafidzi ditemui selepas selamat tiba di Jeti Batu Maung kira-kira jam 10.10 malam Isnin. - Foto APMM
Berhadapan dengan ribut kuat dan ombak setinggi empat meter selain terpaksa mencatu makanan antara pengalaman yang ditempuhi enam pemancing ketika hilang di perairan Pulau Pinang selepas keluar memancing, pada Ahad lalu.
Keadaan itu diceritakan tekong bot, Mohd Khairul Anuar Mohd Salleh, 30 tahun, selepas dia bersama lima lagi rakan pemancing selamat tiba di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Batu Maung, pada malam Isnin.
Menceritakan pengalaman itu tekong bot, Khairul Anuar berkata, bot fiber mereka mengalami kerosakan di bahagian kotak gear selepas berlanggar dengan tali kapal yang dibuang ke dalam laut menyebabkan ia pecah.
"Kami tanggalkan tali yang mereka buang. Sisa-sisa tali kapal. Agak besar dan kena dekat kotak gear. Maka pecah kotak gear. Kami tidak dapat nak balik sebab bot dah rosak. Maka kami turunkan sauh di situ lebih kurang pukul 6 sampai pukul 4 pagi. Masa itu ribut dekat laut maka sauh kami dah terlepas. Kami hanyut sampai 15 kilometer dari tapak yang kita turunkan sauh itu," kata Khairul Anuar.
Ketika bot dihanyutkan mereka hanya mampu berdoa dan bertawakal agar terselamat dari sebarang bencana sebelum bantuan tiba.
Menurut Khairul Anuar lagi, sepanjang berada di laut, mereka berenam terpaksa mencatu bekalan makanan yang dibawa kerana bimbang terputus bekalan makanan sekiranya bantuan lewat tiba.
BACA: Enam pemancing hilang ditemui selamat
BACA: Enam pemancing dikhuatiri hilang di Pulau Pinang
Sambil menyifatkan pengalaman paling ngeri pernah dialaminya, Khairul Anuar turut meninggalkan pesanan kepada orang ramai agar tidak membuang sampah ke dalam laut sesuka hati kerana boleh mengundang bahaya kepada nelayan dan pemancing seperti mereka.
Sementara itu seorang lagi pemancing Khairil Hafidzi Tajuddin berterima kasih kepada semua pihak yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat sehingga akhirnya mereka selamat tiba di Jeti berkenaan.
Khairul Anuar dan Khairil Hafidzi ditemui selepas selamat tiba di Jeti Batu Maung kira-kira jam 10.10 malam Isnin.
Mereka bersama empat lagi pemancing iaitu Mohd Azmil Abdul Rahman, 31 tahun, Mohd Faiz Ibrahim, 30 tahun, Lee Chee Sen, 49 tahun, dan Mohd Rajis Jamil, 35 tahun, tiba di Jeti itu dengan bot yang ditunda kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Lebih 50 orang terdiri daripada ahli keluarga dan sanak-saudara semua mangsa menunggu sejak 7 malam tadi sejurus mendapat maklumat mereka ditemui dalam keadaan selamat.
#APMM #bot #hilang #keluarga #Malaysia #mangsa #nelayan #operasi #pemancing hilang
;