Ribut, kebakaran dugaan awal Juhari jadi ADUN

Bernama
Jun 23, 2018 04:46 MYT
Juhari menyatakan penghargaannya kepada penduduk setempat di Langkawi yang telah memberikan sambutan hangat kepada rumah terbuka yang diadakannya untuk pertama kali sejak menjadi Adun Ayer Hangat. - Gambar fail
Beberapa kejadian kebakaran dan kerosakan harta benda ekoran ribut yang berlaku dalam tempoh dua minggu lepas antara dugaan awal dihadapi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, Juhari Bulat sejak memenangi jawatan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.
Insiden-insiden tidak diingini juga telah membolehkannya untuk membuat penilaian tentang keberkesanan gerakan bantuan yang disalurkan melalui jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan.
"Walaupun (penyampaian bantuan) agak perlahan tetapi ada perkembangan yang baik (untuk memperbaiki sistem penyampaian ini)," katanya kepada media semasa majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Ulu Melaka di sini.
Menurutnya dalam tempoh dua minggu lepas, kira-kira 50 buah rumah mengalami kerosakan selepas dilanda angin kuat, sementara empat buah rumah lagi musnah dalam kebakaran yang berlaku dalam kejadian yang berasingan.
"Ini semua dugaan dari Allah dan kami telah menanganinya dengan sebaik mungkin menerusi sumbangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Daerah Langkawi dan Pejabat ADUN Ayer Hangat," katanya.
Sementara itu, Juhari menyatakan penghargaannya kepada penduduk setempat di Langkawi yang telah memberikan sambutan hangat kepada rumah terbuka yang diadakannya untuk pertama kali sejak menjadi Adun Ayer Hangat.
"Pada mulanya saya menjangkakan sekitar 4,000 orang ke majlis ini tetapi seperti yang kita lihat yang hadir hari ini (Sabtu) lebih daripada itu," katanya.
Beliau turut teruja dengan kehadiran bekas ADUN Ayer Hangat dan calon BN yang ditewaskannya dalam PRU14 lepas, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid dan beberapa orang pemimpin UMNO tempatan di majlis itu.
"Hubungan kami tetap mesra... tidak ada perasaan dendam dari semasa kempen sehingga ke hari ini. Ini menunjukkan politik matang di antara UMNO dan Bersatu (PPBM)," katanya.
-- BERNAMA
#ADUN #Ayer Hangat #bantuan #Hari Raya Aidilfitri #Juhari Bulat #kebakaran #keberkesanan #kerosakan harta benda #Langkawi #PRU14 #ribut #Ulu Melaka
;