Ribut, hujan lebat di KL akibatkan pokok tumbang hempap kereta
Bernama
Julai 13, 2016 22:50 MYT
Julai 13, 2016 22:50 MYT
Hujan lebat dan ribut kencang yang melanda ibu negara petang ini mengakibatkan 10 pokok tumbang dan menghempap beberapa kereta dan rumah di beberapa lokasi.
Ketua Pusat Pergerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani berkata kejadian pukul 5.30 petang itu, turut menyebabkan pelbagai kerosakan harta benda termasuk sebuah garaj kereta runtuh menghempap empat buah kereta di Lengkok Abdullah, Bangsar.
Antara kawasan lain yang terjejas akibat pokok tumbang ialah berhampiran stesen KTM Bank Negara, Mid Valley menghala Lebuhraya Cheras, Jalan Klang Lama menghala ke Lebuhraya Persekutuan, Hotel Midah di Jalan Kampung Attap dan Desa View Towers di Taman Melawati dan Jalan Bunus menghala ke Jalan Raja Laut.
"Sehingga pukul 6.45 petang tadi, pihak bomba dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerima 10 laporan berkaitan kerosakan harta benda dan pokok tumbang menghadang jalan.
"Bagaimanapun, kejadian itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa," katanya ketika dihubungi Bernama.