Ribut, hujan batu di Chukai: Warga emas hampir dihempap bumbung

Bernama
Oktober 24, 2024 16:30 MYT
Abdullah Zawawi (kanan) bersama isteri Wan Kharzimi melihat keadaan rumah mereka yang rosak akibat ribut petir dan hujan air batu semasa tinjauan di Kampung Gong Pauh, hari ini. - Bernama
CHUKAI: Seorang warga emas nyaris dihempap siling rumah yang runtuh dalam kejadian ribut dan hujan air batu di Bandar Chukai dekat daerah Kemaman, petang semalam.
Abdullah Zawawi Che Yaacob, 63, dari Kampung Gong Pauh, dekat sini berkata kejadian berlaku sekitar 4 petang semalam ketika beliau bersama isteri, Wan Kharzimi Wan Abdul Manan, 57, serta tiga anak mereka sedang menonton televisyen.
"Selepas kedengaran bunyi angin kuat, kami terus matikan suis televisyen, dan daripada tingkap nampak macam pusaran putih tebal di luar.. tiba-tiba rasa ada debu jatuh atas kepala dan baju.
"Mujurlah isteri sempat tarik tangan saya ke tepi kerana bumbung siling kapur dah runtuh dan hampir menghempap saya," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Gong Pauh hari ini.
Abdullah Zawawi berkata kejadian itu menyebabkan beliau mengalami kerugian kira-kira RM50,000 termasuk bumbung, sistem pendawaian, paip dan cermin kereta yang pecah akibat terkena kayu yang berterbangan.
"Kejadian berlaku dalam sekelip mata...beberapa minit sahaja, tetapi kerugian agak besar kerana melibatkan sistem pendawaian elektrik, paip dan sebagainya. Walaupun ada bahagian rumah yang boleh diduduki, kami tak berani tidur di rumah dan menyewa inap desa untuk dua tiga hari ini," katanya.
Sementara itu seorang lagi mangsa ribut Nur Elyana Sofea Zulkamiran, 19, berkata ketika kejadian beliau berada di rumah bersama anak lelakinya yang berusia setahun dan bapanya yang uzur.
Walaupun ketakutan, beliau memberanikan diri untuk menjengah keluar dan melihat pusaran angin seperti puting beliung dan kayu-kayu berterbangan di udara.
"Saya cepat-cepat ambil anak dan berlari ke dapur bersama ayah untuk berlindung kerana bumbung rumah dah ada yang tercabut.
"Kebetulan suami tak ada di rumah kerana ada urusan di Kuala Terengganu. Waktu itu memang panik dan hanya mampu berdoa supaya diselamatkan dari sebarang malapetaka," katanya yang sedang mengandung tujuh bulan.
-- BERNAMA
#hujan batu #ribut #Chukai #Kemaman
;