Ribut di Port Dickson, sekurang-kurangnya 10 rumah alami kerosakan

Astro Awani
September 29, 2021 19:41 MYT
Sebanyak 10 buah rumah mengalami kerosakan terutamanya di bahagian bumbung dalam kejadian ribut berkenaan. - Gambar/ Media sosial
PORT DICKSON: Kejadian ribut mengejutkan penduduk Taman Bagan Kurnia, Kuala Lukut, di sini, apabila ia menerbangkan atap beberapa rumah di kawasan berkenaan, pada pagi Rabu.
Memetik laporan media tempatan, ada penduduk yang mengalami kecederaan ringan akibat daripada fenomena berkenaan selepas terkena serpihan siling rumah.
Antaranya, seorang wanita warga emas berusia 86 tahun yang cedera pada bahagian kepala ketika sedang berehat di dapur rumahnya apabila puting beliung berkenaan melanda.
Dia kemudian menerima rawatan di Hospital Port Dickson.
Kejadian angin puting beliung di Port Dickson
Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Syukri Md Nor berkata sekurang-kurangnya 10 buah rumah mengalami kerosakan terutamanya di bahagian bumbung.
Katanya, seramai enam anggota APM telah selesai melakukan tinjauan dan pemeriksaan di taman perumahan itu pada jam 2.40 petang tadi.
Terdahulu, tular satu rakaman video yang memaparkan kejadian ribut itu sehinggakan kelihatan banyak serpihan objek berterbangan di udara.
#Port Dickson #Kuala Lukut #viral #ribut kuat
;