SHAH ALAM: Seorang pemandu lori mengalami detik cemas apabila kenderaan yang dipandunya dihempap pokok tumbang, dalam kejadian hujan lebat dan ribut di Jalan Pantai Morib menghala ke Tanjung Sepat, Banting dekat sini, semalam.

Pengarah Bomba Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata bagaimanapun pemandu lori yang merupakan warga tempatan berusia 30-an itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada 6.47 pagi.

"Kira-kira 10 batang pokok tumbang dan menghalang laluan kenderaan, terdapat satu lori muatan 10 tan yang sedang melalui jalan tersebut tidak sempat mengelak dan dihempap dahan pokok tersebut. Pemandu lori tersebut berjaya keluar dari kenderaan untuk menyelamatkan diri.

"Pihak bomba mengambil masa selama empat jam bagi menjalankan kerja-kerja mengalihkan batang pokok yang menghalang laluan," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Lori yang sedang melalui Jalan Pantai Morib tidak sempat mengelak dan dihempap dahan pokok, namun pemandunya berjaya keluar dari kenderaan untuk menyelamatkan diri. - Foto BERNAMA

Katanya, kerja-kerja pengalihan batang pokok itu turut dibantu Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Majlis Perbandaran Kuala Langat, Jabatan Kerja Raya dan Polis Diraja Malaysia.

-- BERNAMA