Ribut: Buka pintu sahaja, rumah sudah dimasuki air macam banjir - Mangsa

Amirrul Rabbani
Jun 23, 2023 20:57 MYT
Nor Azahar berkata kejadian ribut itu juga telah menerbangkan sebahagian besar bumbung rumahnya sehingga menyebabkan air hujan masuk ke dalam. - Gambar Astro AWANI
IPOH: ‘Bagai jatuh ditimpa tangga’. Itu situasi yang dapat digambarkan terhadap nasib Nor Azahar Zulkifli, 35, apabila gerai dan rumahnya di Taman Perpaduan, Tambun dekat sini terjejas akibat kejadian ribut pada Khamis.
Menurutnya, ketika kejadian pada jam 5.05 petang itu, dia mendapat panggilan daripada isterinya, Azmaliza Fazil, 35, memaklumkan khemah di gerai musnah selepas diterbangkan ribut.
Katanya, dia yang ketika itu berada di rumah terus bergegas ke gerai yang terletak kira-kira 2 kilometer (km) dari rumahnya untuk membantu isterinya.
“Selepas saya selesai tolong isteri kemaskan barang-barang berniaga termasuk khemah yang rosak, kami pulang ke rumah kerana masing-masing dalam keadaan lencun disebabkan hujan lebat.
“Tiba di rumah, kami mendapati rumah telah dimasuki air. Buka sahaja pintu, rumah kami sudah macam dilanda banjir,” katanya ketika ditemui di Taman Perpaduan di Tambun, dekat sini, pada Jumaat.
Nor Azahar berkata kejadian ribut itu juga telah menerbangkan sebahagian besar bumbung rumahnya sehingga menyebabkan air hujan masuk ke dalam.
Katanya lagi dia mengalami kerugian sekitar RM10,000 susulan kerosakan barang-barang elektronik seperti kipas, lampu serta pendawaian yang terjejas akibat kejadian itu.
Sementara itu, peniaga, Nasrun Ismail, 54, berkata kejadian ribut itu juga disifatkan antara paling terburuk yang pernah dialami selepas puluhan tahun menetap di kawasan perumahan berkenaan.
Ujarnya hujan lebat beserta angin kuat pada petang Khamis itu telah memusnahkan barang-barang di kedai makan miliknya sehingga khemahnya diterbangkan angin sebelum menghempap bumbung rumahnya.
“Ketika kejadian, semua barang di kedai saya musnah selain khemah diterbangkan sehingga jatuh di bumbung rumah. Ketika itu juga saya dan dua anak masing-masing berumur 18 dan 27 tahun berada dalam rumah berasa takut.
“Antara barang perniagaan yang musnah termasuk beberapa kerusi dan meja makan. Semua nampaknya tidak boleh digunakan lagi,” katanya.
Jelasnya, kejadian itu juga mengakibatkannya berasa trauma dan bimbang apabila langit menunjukkan tanda-tanda hujan.
Tambah Nasrun, walaupun mengalami kerugian mencecah RM10,000 dia tetap reda dengan ujian yang menimpanya selain berkata terpaksa mengambil masa yang lama untuk mula berniaga kembali.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad yang melawat mangsa ribut berkata, pihaknya akan mendapatkan laporan penuh bagi mengenal pasti jumlah sebenar kerugian yang dialami mereka.
Dalam kejadian pada petang Khamis, sebanyak 33 rumah dan enam gerai di Mukim Hulu Kinta rosak akibat kejadian ribut.
Sebanyak 17 rumah dan enam gerai di Taman Perpaduan terjejas, tujuh rumah di Taman Mewah, enam rumah di Kampung Batu 5 manakala tiga rumah lagi di Kampung Batu 6 turut mengalami nasib sama.
#banjir #ribut #trauma #tanda hujan
;