Ribut, banjir kilat jejas beberapa daerah di Perak

Aida Aziz
Mei 22, 2024 07:50 MYT
Menurut bomba, taburan hujan tinggi menyebabkan banjir kilat, menyaksikan air memenuhi longkang dan sungai serta melimpah ke jalan utama. - Foto JBPM dan APM Perak
IPOH: Beberapa kawasan di negeri ini dilanda banjir kilat dan ribut susulan hujan lebat berterusan sejak petang semalam.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, antara kawasan yang terbabit ialah daerah Kinta, Perak Tengah dan Manjung.
Katanya, banjir kilat yang berlaku di Kampung Simpang 3, Buluh Akar di Parit, dalam daerah Perak Tengah, menyebabkan lima keluarga terjejas.
"Banjir kilat itu dengan kedalaman 1 meter dan membabitkan lima buah rumah. Proses memindahkan mangsa ke tempat selamat telah dilakukan," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Selain itu, katanya, banjir di Taman Cempaka di sini pula, dengan anggaran kedalaman 0.2 meter. Bagaimanapun, tiada pemindahan mangsa dilakukan.
Difahamkan, taburan hujan tinggi menyebabkan longkang dan sungai dipenuhi air yang melimpah ke jalan utama di kawasan tersebut.
"Anggota bomba membuat pemantauan sehingga air surut sepenuhnya," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, jurucakap Pusat Kawalan Operasi Daerah Kinta memberitahu, kejadian ribut berlaku di Pengkalan Pegoh.
"Kejadian pada petang Rabu itu menyebabkan beberapa rumah terjejas dan atap diterbangkan angin.
"Namun setakat ini, tiada pusat pemindahan sementara yang dibuka," katanya.
Dalam pada itu, katanya, Kampung Tualang, Beruas juga dilanda banjir kilat dan beberapa buah rumah dinaiki air.
“Setakat ini paras air terkawal namun jika hujan berterusan kemungkinan besar air akan naik semula,” tambahnya.
#banjir kilat #hujan lebat #banjir #ribut
;