Ribut: 10 pokok tumbang sekitar ibu negara
Astro Awani
September 19, 2023 07:10 MYT
September 19, 2023 07:10 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 kejadian pokok tumbang dilaporkan berlaku di sekitar ibu negara, akibat angin kencang dan hujan lebat, pada petang Selasa.
Pusat gerakan operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kuala Lumpur memaklumkan hujan lebat dan angin kencang yang bermula jam 5.15 petang itu menyebabkan banyak pokok tumbang.
Antara lokasi kejadian yang dilaporkan adalah di Jalan 2/61, Bukit Segambut; Jalan 19/62B, Bandar Manjalara; Jalan Bukit Maluri 9, Taman Bukit Maluri; Jalan Udang Kapas, Taman Sri Segambut dan Taman Megah, Kepong.
Kejadian pokok tumbang turut dikesan berlaku di Jalan 14/38C, Taman Sri Kepong; Jalan 2/62, Bandar Manjalara; Taman Petaling Garden, Kepong Baru; Jalan 1, Taman Kepong dan Jalan Ismail Ghaney berhampiran Jalan Kasipillay.
Katanya, sebanyak 10 jentera bomba dihantar ke semua lokasi sejurus kejadian berlaku bermula jam 5.20 petang hingga jam 7.30 malam.
Dalam kejadian ini, pegawai dan anggota bomba terbabit dalam operasi memotong pokok yang menghalang lalu-lintas dan menghempap kenderaan.
Dalam kejadian di Jalan 19/62B Bandar Manjalara, pokok yang tumbang menghempap sebuah kereta, namun pemandu dan penumpangnya terselamat.
Antara Balai Bomba Penyelamat (BBP) terbabit dalam operasi adalah BBP Sri Hartamas, BBP Taman Tun Dr Ismail; BBP Sentul dan BBP Jinjang.