Ribuan tanglung merah tarik orang ramai ke Jalan Raja Uda
Bernama
Januari 15, 2023 12:00 MYT
Januari 15, 2023 12:00 MYT
BUTTERWORTH: 10,000 tanglung sutera merah yang digantung di Jalan Raja Uda di sini bagi menyambut kedatangan Tahun Baharu Cina, Tahun Arnab, serta memeriahkan lagi perayaan itu pada 22 Jan ini, kata Presiden Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang Datuk Seri Hong Yeam Wah.
Beliau berkata tanglung dari China bernilai keseluruhan kira-kira RM350,000 itu, dinyalakan mulai 8 Jan lepas hingga hari ke-15 Tahun Baharu Cina.
Menurut Hong, kos untuk memasang lentera kertas itu adalah sumbangan kerajaan negeri, ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri serta Kumpulan Tan Wah.
"Tanglung dipasang sepanjang lebih kurang 4 kilometer (km), bermula dari simpang selatan Jalan Telaga Air ke seluruh Jalan Raja Uda, yang merupakan lokasi terdapatnya banyak kedai makan.
Tujuan utama menggantung tanglung ini ialah untuk menyemarakkan semangat Tahun Baharu Cina dalam kalangan penduduk di sini," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Pengarah Urusan Kumpulan Tah Wah itu berkata pemasangan tanglung itu merupakan tradisi komuniti Butterworth sejak 2009 bermula dengan hanya 5,000 tanglung.
Katanya pada 2015, Jalan Raja Uda telah dimasukkan dalam Malaysian Book of Records kerana menggantung 10,000 tanglung sepanjang 3.5 km jalannya.
"Kami telah melakukan tradisi ini secara tahunan hingga dua tahun lepas. Kami terpaksa berhenti dua tahun lepas ekoran tercetusnya wabak virus COVID-19. Tahun ini semua telah kembali normal dan kami gembira dapat menghidupkan kembali tempat ini pada musim perayaan ini," katanya.
Selain itu, Hong berkata para peniaga pasar malam di Kuil Tow Boo Keong menerima kedatangan lebih ramai pengunjung dengan 10,000 lentera berkenaan menerangi Jalan Raja Uda.
"Terdapat lebih 200 gerai menjual barangan seperti pencuci mulut, biskut tradisional, pakaian dan perhiasan, mengambil bahagian dalam pasar malam itu tahun ini. Pasar malam tersebut dijadualkan beroperasi setiap hari dari 7 hingga 10 malam," katanya.
Sementara itu, peniaga pasar malam Lim Chin Tat, 23, berkata pemasangan 10,000 tanglung itu menarik orang ramai ke gerainya.
"Pada hujung minggu, ramai orang datang melihat tanglung-tanglung yang cantik ini dan akan singgah di gerai saya untuk membeli perhiasan untuk rumah mereka. Saya bersyukur atas usaha dilaksanakan pihak berkuasa dalam meningkatkan perniagaan kami," katanya.
-- BERNAMA