Ribuan rakyat Pahang sambut keberangkatan balik Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah

Bernama
Januari 30, 2024 17:06 MYT
Mereka yang datang dari serata daerah berkumpul di lokasi ditetapkan termasuk Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dibuka khusus kepada orang ramai. -Bernama
KUANTAN: Puluhan ribu rakyat Pahang menyambut keberangkatan balik Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Pahang hari ini.
Mereka yang datang dari serata daerah berkumpul di lokasi ditetapkan termasuk Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), di sini, yang dibuka khusus kepada orang ramai untuk menyatakan rasa kasih dan rindu mereka kepada pasangan diraja kesayangan rakyat Pahang.
Ahli perniagaan I.Shanmuganathan, 45, berkata beliau dan rakannya bertolak dari rumah di Karak, Bentong seawal 7 pagi ke Pangkalan Udara TUDM kerana tidak mahu ketinggalan menyaksikan peristiwa bersejarah Pahang, yang tidak akan berulang dalam masa terdekat.
"Ini sumbangan kecil yang dapat kami berikan kepada negeri. Saya juga bangga kerana nama Sultan Pahang (Al-Sultan Abdullah) dan Tengku Ampuan Pahang (Tunku Azizah) sentiasa disebut orang sepanjang Seri Paduka berdua di Istana Negara," katanya.
Anak kelahiran Sungai Puteri, Rompin, Farah Nadia Abdullah, 31, pula berkata dia dan suami membuat keputusan membawa tiga anak mereka berusia enam, tiga dan setahun untuk bersama-sama menyambut Seri Paduka berdua sebagai 'tanda menjunjung kasih' atas keprihatinan pasangan diraja itu sepanjang bersemayam di Istana Negara.
"Kami di Pahang tahu betapa kasihnya Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kepada rakyat, malah sejak zaman Almarhum Sultan Ahmad Shah lagi. Bila berlaku bencana atau rakyat berdepan kesusahan, pasti ada bantuan diberikan.
"Keprihatinan, kebijaksanaan dan keramahan pasangan diraja Pahang sudah disaksikan sendiri oleh seluruh rakyat.
"Sebagai rakyat Pahang, saya bangga kerana sepanjang lima tahun, nama Seri Paduka berdua sentiasa menarik perhatian ramai," katanya.
Pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Tun Abdul Razak di Pekan, Wan Joharis Wan Johari, 15, yang ditemui di Pangkalan Udara TUDM mengakui teruja kerana berpeluang menyaksikan sendiri istiadat bersejarah itu buat kali pertama.
Wan Joharis yang berasal dari Terengganu berkata dia tidak berpeluang merasai pengalaman itu semasa Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menjadi Yang di-Pertuan Agong pada 3 Dis 2006 hingga 12 Dis 2011 kerana terlalu kecil pada waktu itu.
"Teruja dapat tengok secara depan mata. Tidak tahu jika ada peluang untuk lihat lagi pada masa depan. Bila ditawarkan tempat untuk bersama-sama ke Kuantan, sudah pasti saya tidak berkata tidak.
Tidak mahu ketinggalan memuliakan keberangkatan balik Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah ialah Gabungan Persatuan Wanita Negeri Pahang yang mula berkampung di pekarangan Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah pada 10 pagi tadi.
Wakil kumpulan itu Maria Fahida Zainal Fuaddi berkata seramai 50 ahli persatuan berkenaan tidak mahu ketinggalan bagi menyambut kepulangan Seri Paduka baginda berdua untuk kembali bersemayam di Istana Pahang.
-- BERNAMA
#Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah #Raja Permaisuri Agong #keberangkatan balik #Puluhan ribu rakyat Pahang #AgongKita
;