"Ribuan masyarakat India marahkan saya, tidak puas hati SOP Thaipusam" - Saravanan

Ridauddin Daud
Januari 18, 2022 14:51 MYT
Saravanan memahami bahawa SOP ditetapkan adalah untuk mengekang COVID-19 dan semua orang perlu mengambil bahagian, namun, tidak seharusnya ada kekeliruan dalam setiap keputusan. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Masyarakat India di seluruh negara meluahkan rasa tidak puas hati dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan untuk sambutan Hari Thaipusam kali ini.
Kekecewaan itu bukan hanya dirasakan masyarakat kaum itu, bahkan, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan sendiri secara peribadi mengakui kecewa dengan ketetapan itu.
Kata Saravanan, rasa tidak gembira itu tambah berganda selepas beliau diasak dengan pelbagai soalan berhubung SOP Thaipusam daripada ribuan masyarakat penganut agama Hindu yang meraikan hari kebesaran mereka itu pada Selasa.
Menurut Saravanan, antara soalan yang berulang kali sampai ke telinganya ialah mengapa perarakan tidak dibenarkan sedangkan pasar malam dan kompleks beli-belah dibenarkan beroperasi dengan menerima kehadiran ramai pengunjung.
Beliau juga mengakui berada dalam keadaan yang sukar kerana tidak dapat menjawab soalan-soalan yang diajukan kepadanya.
“Kalau mereka (kerajaan) benar-benar risau dengan Omicron, tutuplah semua 'shopping complex'. Ini boleh pula pasar malam buka, 'shopping complex' buka… hanya perayaan saja tidak boleh.
"Walaupun saya bersama Menteri Perpaduan telah bangkitkan isu untuk meminta beribu orang berarak (tetapi) cuma 100 orang dibenarkan. (Jarak) 11 kilometer dari Kuala Lumpur sampai Batu Caves, takkan 100 orang saja (dibenarkan berarak)?
"Ini adalah perasaan masyarakat India. Ini bukan perkara baharu. Bila kita sampaikan perasaan masyarakat India, orang atasan kenalah dengar dan beri sedikit ruang," kata Saravanan memanjangkan rasa kurang senang masyarakat India berhubung SOP Hari Thaipusam.
Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika menghadiri sambutan Hari Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves di sini, yang turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohd Sadique.
Dalam pada itu, Saravanan berkata, beliau faham SOP ditetapkan adalah untuk mengekang COVID-19 dan semua orang perlu mengambil bahagian, namun, tidak seharusnya ada kekeliruan dalam setiap keputusan.
"Tapi pendekatan kita perlu baik, jangan ada ‘flip-flop’… ini boleh, itu tak boleh. Tahun lepas mana ada masyarakat India minta 'kavadi', tak minta pun. Tahun lepas kami ikut saja.
"Ini yang menjadi masalah wakil masyarakat dan saya percaya ini adalah kali terakhir. Bila ada permintaan daripada kami (wakil rakyat)… bukan kami minta tapi rakyat minta,” luah beliau lagi.
Ekoran SOP yang sangat ketat juga, Saravanan yang juga Timbalan Presiden MIC menegaskan, masyarakat India tidak akan teragak-agak akan ‘menghukum’ kerajaan pada pilihan raya akan datang.
Saravanan tidak menafikan, kekecewaan masyarakar India sangat tinggi pada tindak-tanduk kerajaan hari ini.
"Apabila kita tak dapat sokongan rakyat, kita kalah juga. Ini yang jadi kepada kerajaan Barisan Nasional sebelum ini," ujarnya lagi.
Sementara itu, Halimah berkata, semua permohonan daripada kuil di seluruh negara berhubung perayaan Thaipusam sudah dibawa ke mesyuarat yang turut disertai Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Begitupun, keputusan akhir terletak kepada mesyuarat tersebut dan beliau sebagai Menteri Perpaduan Negara hanya mengumumkan SOP yang telah diputuskan.
"Bila saya umumkan, ada yang kata keputusan itu datang daripada Datuk Seri M Saravanan dan Halimah Sadique. Kami berdua tidak membuat keputusan.
"Kami angkat permohonan-permohonan daripada kuil kepada mesyuarat dan yang buat keputusan adalah mesyuarat.
"Saya harap masyarakat India akan menerima usaha dilakukan pihak Saravanan dalam mesyuarat itu dan menerima keputusan walaupun dengan hati yang berat," kata Halimah dalam sidang media sama.
#Thaipusam #M Saravanan #masyarakat India marah #SOP Thaipusam
;