Ribuan ikan mati di tasik UniSZA akibat cuaca panas

Sinar Harian
Mei 13, 2023 11:12 MYT
Kejadian sama pernah berlaku pada tahun 2018 ketika ENSO melanda negeri namun melibatkan kematian ikan yang jauh lebih tinggi. - Gambar/ Sinar Harian
KUALA NERUS: Ribuan ikan tilapia ditemui mati di tasik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada petang Khamis akibat kekurangan oksigen terlarut susulan cuaca panas dan peningkatan muatan organik.
Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI) UniSZA, Fathurrahman Lananan berkata, dapatan itu diperolehi hasil ujian segera dilakukan pihaknya selepas penemuan bangkai ikan di tasik berkenaan.
Menurutnya, terdapat dua faktor bertindih menyebabkan berlaku peningkatan mendadak permintaan oksigen biologikal Biological Oxygen Demand (BOD) di Tasik UniSZA hingga membawa kematian ikan.
"Faktor pertama adalah peningkatan muatan organik disebabkan keadaan kemarau yang melanda ketika ini. Muatan organik adalah daripada saliran kawasan perumahan yang membawa air sisa seperti cucian dapur dan buangan makanan.
"Apabila kemarau, kepekatan air sisa akan meningkat dan meningkatkan muatan organik ke atas ekosistem tasik kerana air masuk (influent) adalah pekat dan air keluar daripada tasik (efluent) berkurangan disebabkan isipadu aliran air yang berkurangan. Ditambah pula dengan kuantiti hujan yang sangat rendah ketika ini," katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.
Fathurrahman berkata, faktor kedua adalah disebabkan fenomena cuaca panas berdasarkan Ayunan Selatan El Nino (ENSO) atau El Nino dengan suhu di Kuala Nerus mencecah 33 hingga 34 °C menyebabkan peningkatan suhu air di tasik UniSZA.
Katanya, peningkatan suhu ini menyebabkan penurunan keupayaan muatan oksigen terlarut dalam air yang menggerakkan keseimbangan oksigen dalam ekosistem tasik.
Jelas beliau, keadaan ini diburukkan lagi dengan faktor pertama iaitu peningkatan BOD dan faktor bertindih ini menyebabkan penurunan oksigen terlarut yang melampau sehingga menyebabkan kematian ikan bersaiz besar dan sederhana sebagai permulaan.
"Peningkatan mendadak BOD menyebabkan 'blackout' atau kehilangan serta-merta oksigen terlarut di Tasik UniSZA yang menyebabkan kematian ikan terutama ikan bersaiz besar dalam populasi tasik berkenaan.
"Oleh sebab itu, kita dapati ikan bersaiz relatif lebih besar yang mati dahulu kerana ikan bersaiz ini memerlukan oksigen terlarut lebih tinggi berbanding ikan kecil.
"Jika corak oksigen terlarut berterusan menurun, kita akan dapat melihat kematian ikan yang lebih kecil malah telur ikan dan seluruh populasi hidupan akuatik di Tasik UniSZA juga akan mati," katanya.
Menurut Fathurrahman, kejadian sama pernah berlaku pada tahun 2018 ketika ENSO melanda negeri namun melibatkan kematian ikan yang jauh lebih tinggi.
Beliau berkata, bagi mengelak situasi ini berulang, Institut Penyelidikan Alam Sekitar telah mencadangkan supaya Loji Rawatan Air Tasik diwujudkan untuk merawat nutrien dalam Tasik UniSZA.
Ini kerana ekosistem tasik telah menerima aliran masuk air domestik atau perbandaran daripada kawasan perumahan sekitar UniSZA sejak enam tahun lalu.
Bagaimanapun katanya, permohonan cadangan itu dilaporkan tertangguh disebabkan gelombang pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun berikutnya.
"Aliran masuk air domestik ini pada awalnya bukan dalam spesifikasi rekaan Tasik UniSZA iaitu tasik rekreasi.
"Akan tetapi, Tasik UniSZA kini menjalankan dua peranan sebagai salah satu komponen dalam tebatan banjir di kawasan Gong Badak/Tok Jembal yang memerlukannya menerima aliran masuk air domestik/perbandaran ini.
"Oleh itu, terdapat keperluan tinggi untuk Loji Rawatan Air Tasik direalisasikan dan kita harap ia dapat dilaksanakan segera," katanya. -Sinar Harian
#cuaca panas #ikan mati #UniSZA #kekurangan oksigen
;