Ribuan ikan di Sungai Tuang mati bukan sebab pencemaran

Sinar Harian
Mac 28, 2022 07:31 MYT
Sebahagian ikan yang ditemui mati terdampar di Sungai Tuang, Masjid Tanah pada Ahad. - Foto Sinar Harian
MELAKA: Kerajaan negeri mendakwa kejadian ikan tamban pias mati terdampar di Sungai Tuang, Masjid Tanah berkemungkinan ia dibuang individu kerana tidak mempunyai nilai di pasaran.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, ikan itu dibuang oleh mereka yang memasang jaring hanyut atau pekap di pantai sekitar berikutan sifat semula jadi ikan itu yang mempunyai bau hanyir, rasa tawar dan mempunyai tulang banyak.
Menurutnya, laporan diterima pihak berkaitan juga tidak menemui kesan atau tanda tumpahan minyak di sepanjang pantai berkenaan dan keadaan air kelihatan normal.
Katanya, wakil Unit Biosekuriti Perikanan Melaka telah mengambil sampel ikan dan pemerhatian yang dilakukan tidak menemui jenis ikan lain selain menunjukkan kemungkinan tiada pencemaran berlaku.
"Sebaliknya tindakan nelayan yang membuang ikan tersebut.
"Logiknya kalau berlaku tumpahan minyak mesti ada tanda, kalau tak sampai di Pantai Telok Gong, akan sampai di Pantai Tanjung Bidara atau Padang Kemunting tapi ini tak ada berlaku.
"Begitu juga kononnya berlaku belerang dan sebagainya, namun kenapa hanya satu jenis ikan sahaja yang terdampar, kalau pencemaran mesti ikan spesies lain juga terdampar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Seri Negeri, di Ayer Keroh, di sini, pada Isnin.
Dalam perkembangan lain, Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, memberi amaran kepada peniaga yang cuba 'ali baba' tapak bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri bakal berdepan tindakan ditarik lesen.
Menurutnya, setakat ini pihaknya juga belum menerima sebarang aduan berhubung kenaikan kadar tapak sewa bazar yang meningkat berbanding tahun lalu.
"Saya tidak menerima sebarang laporan sama ada tapak sewa pasar atau bazar Ramadan meningkat kerana kita serahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Ali baba' memang kita tidak benarkan, kita mahu orang yang benar-benar hendak berniaga untuk mendapatkan rezeki pada bulan Ramadan," katanya.
*Berita asal di Sinar Harian
#ikan mati #Sulaiman Md Ali #Sungai Tuang #ikan tiada nilai di pasaran
;