Ri Jong Chol diusir hari ini

Bernama
Mac 3, 2017 10:55 MYT
MUSTAFAR: Ri Jong-chol, yang sebelum ini ditahan untuk membantu siasatan kes pembunuhan Kim Jong-nam, akan diusir hari ini. - Gambar fail
Lelaki Korea Utara, Ri Jong-chol, yang sebelum ini ditahan untuk membantu siasatan kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, akan diusir hari ini.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyerahkan Jong-chol kepada Jabatan Imigresen Malaysia pada 9.30 pagi ini untuk tujuan pengusiran ke negara asal sebagaimana diputuskan Jabatan Peguam Negara.
"Beliau dijadualkan akan berlepas ke negara asal pada hari ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mustafar berkata Jong-chol, 47, akan diiringi dua wakil Kedutaan Korea Utara untuk penghantaran pulang itu.
Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali semalam berkata Jong-chol, yang direman sejak 18 Feb lepas, akan dibebaskan dan dihantar pulang ke negara asalnya berikutan kekurangan bukti untuk mendakwa.
Jong-chol dengan baju kalis peluru tiba di kawasan Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia di sini kira-kira 9.17 pagi dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang dengan kawalan ketat polis untuk proses dokumentasi penghantaran pulang.
Kenderaan yang membawa Jong-chol dibawa terus ke tempat letak kereta aras bawah tanah JIM bagi mengelak kumpulan media yang telah berkumpul di pintu utama Ibu Pejabat JIM seawal 6.30 pagi.
Kaunselor Kedutaan Korea Utara Kim Yu-song turut kelihatan di ibu pejabat Jabatan Imigresen.
Beliau dilihat memasuki bangunan itu pada kira-kira 10.10 pagi dan keluar dua jam kemudian tanpa memberikan komen kepada media tentang tujuan kedatangannya.
Selepas kira-kira enam jam berada di ibu pejabat Jabatan Imigresen itu, Jong-chol meninggalkan bangunan itu dalam kereta peronda polis.
Tempoh reman Jong-chol yang direman sejak 18 Feb berhubung kes pembunuhan Jong Nam tamat hari ini.
Jong-nam berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Feb bagi menaiki penerbangan ke Macau apabila tiba-tiba dihampiri dua wanita yang dikatakan menyapu mukanya dengan tangan yang dilumur bahan beracun.
Jong-nam, yang menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.
Dua wanita asing iaitu Siti Aisyah, 25, warga Indonesia dan Doan Thi Huong, 28, warga Vietnam, dituduh di Mahkamah Sesyen Sepang pada Rabu lepas atas tuduhan membunuh Jong-nam.
Di SEPANG, kira-kira 100 petugas media tempatan dan asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) memberi tumpuan kenderaan dengan plat khas kedutaan dan akan mengejar kenderaan sedemikian apabila ia menghampiri kawasan lapangan terbang itu.
Pada kira-kira 3.15 petang, sebuah kenderaan BMW yang memperlahankan pergerakannya di KLIA menarik perhatian media apabila seorang wanita dan dua orang kanak-kanak di dalamnya kelihatan menekup muka masing-masing bagi mengelak foto mereka diambil dan menyebabkan kenderaan itu hanya berlalu tanpa berhenti.
Yu-song yang dilihat berada di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira 3.30 petang dikerumun kumpulan media yang bertanyakan tujuan beliau ke lapangan terbang itu.
"No comment (tiada ulasan)," katanya.
Jong-chol dipercayai dibawa ke KLIA melalui laluan khas yang tidak boleh diakses media.
-- BERNAMA
#Kim Jong-nam #Kim Jong-un #Korea Utara #PDRM #Ri Jong-chol