Rezeki tidak diduga bagi penerima rumah PPRT
Bernama
Oktober 6, 2019 05:31 MYT
Oktober 6, 2019 05:31 MYT
Rezeki tidak diduga bagi penerima rumah mampu milik Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kawasan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) apabila permohonannya untuk memperbaiki rumah pusaka yang usang bertukar mendapat sebuah rumah yang lebih selesa dalam projek terbabit.
Mohd Azlan Ismail, 42, antara 88 orang penerima PPRT di kawasan KESEDAR baru-baru ini, tidak menduga dapat tinggal bersama ahli keluarganya di rumah yang lebih selesa.
Beliau berkata pada permulaannya beliau hanya memohon bantuan untuk membaiki rumahnya yang usang didiami bersama isteri serta empat orang anak berusia setahun sehingga 13 tahun.
"Usahkan untuk membina rumah baharu, memperbaikinya saya tidak mampu dengan bergantung kepada pendapatan yang tidak menentu berkerja sebagai buruh.
"Jika tidak ada program seumpama ini, mana mungkin golongan tidak berkemampuan seperti saya untuk impikan tinggal dirumah yang lebih selesa," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mengkebang di sini, pada Ahad.
Mohd Azlan berkata beliau sangat gembira apabila mengetahui beliau memperolehi rumah PPRT untuk keselesaan anak-anak serta isterinya.
"Ia adalah bantuan dan sumbangan kerajaan paling bernilai kepada keluarga kami, jika tidak kami akan terus tinggal di rumah usang," katanya.
Sementara itu seorang lagi penerima Mohd Borhan Ibrahim, 40, dari Kampung Chemulang, Kuala Krai berkata beliau juga tidak menjangka memperoleh rumah PPRT itu selepas mengemukakan permohonan.
"Permulaannya, saya fikir permohanan saya gagal untuk mendapat rumah itu tapi beberapa bulan kemudian saya dimaklumkan oleh pegawai KESEDAR bahawa permohanan saya diluluskan. Tidak dapat nak gambarkan perasaan saya ketika itu.
"Sebelum ini, saya bersama isteri serta dua orang anak hanya tinggal di rumah sewa dengan bayaran RM50 sebulan dengan pendapatan antara RM450 sehingga RM500 sebulan sebagai penoreh getah," katanya.
Katanya agak mustahil dirinya yang bekerja sebagai penoreh getah dengan harga komoditi itu yang rendah mampu untuk membina rumah baharu.
"Bayangkan dengan pendapatan tidak menentu ketika ini dengan harga getah murah, ditambah pula cuaca tidak menentu untuk saya bina rumah," katanya.
-- BERNAMA