Rezeki Ramadan, ibu tunggal dapat rumah baharu percuma
Norfarhiza Mohd Atar
Mac 22, 2023 12:10 MYT
Mac 22, 2023 12:10 MYT
LIPIS: Kehadiran Ramadan memberi makna besar buat dua penerima Rumah Rakyat Pahang (RRP) di kawasan Padang Tengku di sini, apabila berpeluang menyambut bulan mulia itu di rumah baharu yang diberikan secara percuma oleh kerajaan negeri.
Bagi ibu tunggal, Siti Norizan Hasan@Husin, 43, dari Kampung Bapong, dia menzahirkan rasa gembira dan terharu apabila impian memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai.
"Saya bekerja sebagai pembantu kedai makan bagi menyara enam anak yang masih belajar termasuk seorang Orang Kurang Upaya (Oku) kategori lembam.
"Dengan pendapatan sekitar RM500 sebulan agak sukar untuk saya membeli atau membina rumah sendiri.
"Terima kasih kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long kerana memilih saya sebagai salah seorang penerima RRP," katanya.
Siti Norizan ditemui ketika lawatan dan penyerahan kunci RRP yang disampaikan oleh Mustapa di Kampung Bapong di sini hari ini.
Hadir sama Penghulu Mukim Telang, Muhamad Hafiz Mohamed Azmi; Mohd Zukifli Ramli, Penghulu Mukim Gua; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Beralas, Ismail Ali dan Ketua Cawangan UMNO Kampung Bapong, Mohd Asri Nong.
Seorang lagi penerima dari Kampung Beralas, Wan Mohd Nazari Wan Hassan, 50, yang juga OKU kurang pendengaran, berkata sebelum ini dia menumpang tinggal di rumah kakaknya yang terletak di Taman Cempaka, Padang Tengku.
"Syukur penantian saya untuk mendapat rumah akhirnya tercapai dan saya akan membawa emak yang berusia 82 tahun untuk tinggal bersama-sama di rumah RRP ini.
"Rumah ini cukup selesa untuk didiami kerana dilengkapi dengan ruang tamu, tiga bilik tidur, tandas, bilik air dan ruang dapur," ujarnya.
Dalam pada itu, Mustapa berkata, RRP merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Pahang
yang menyediakan kediaman lebih selesa kepada rakyat yang layak.
"Penerima akan disenarai pendek daripada golongan kurang berkemampuan yang berdaftar dalam e-kasih.
"RRP ini diberikan secara percuma kepada individu yang layak. Harga RRP dahulu RM65,000 seunit, namun kerajaan menambah peruntukan kepada RM75,000 berikutan kenaikan kos bahan binaan," katanya.