Rezeki PKP: Khidmat 'barang basah siap siang' jadi lubuk rezeki ibu tunggal
Shuhada Abdul Kadir
April 28, 2020 15:48 MYT
April 28, 2020 15:48 MYT
“Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.”
Itu pepatah digenggam seorang ibu tunggal, Siti Hartika Shaari, 32, yang tekad mengusahakan perniagaan barangan basah dalam talian sejak dua minggu lalu selepas terputus sumber pendapatan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menggunakan wang RM1,000 hasil Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang diterimanya pada 10 April lalu sebagai modal permulaan, kini wanita cekal itu mampu meraih pendapatan sekitar RM2,000 dalam sehari sehinggakan dia tidak menang tangan menyiapkan tempahan.
Menceritakan kisahnya, ibu kepada seorang anak itu sebelum ini bekerja sebagai tukang masak di sebuah kedai makan di Cheng, Melaka sebelum majikannya membuat keputusan memberhentikan pekerja ekoran tidak mampu menanggung kos gaji.
Dia yang tinggal bersama adik saudaranya Kauthar Hikmah Kamirudin, 26, yang juga bekerja sebagai pembantu kedai makan turut hilang punca pendapatan menyebabkan mereka terpaksa menggunakan wang simpanan bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Sehinggakan pernah pada fasa pertama PKP lalu, mereka serta anak lelakinya berusia 11 tahun hanya menjamah bubur kosong tidak berlauk rentetan terputus wang belanja.
“Sebelum PKP ini Akak bekerja sebagai tukang masak makanan barat tetapi kerana PKP, kedai pun terjejas dan majikan buat keputusan untuk berhentikan pekerja.
“Jadi macam menganggurlah, dengan adik pun sama. Masa PKP fasa pertama, fasa kedua kami duduk di rumah. Dari segi pendapatan memang terjejas. Pernah sampai satu tahap itu makan bubur kosong sahaja. Dua hari berturut-turut tanpa apa-apa lauk,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini hari ini.
Tampil dengan idea ‘barang basah siap siang’ yang pertama di Melaka dengan menyasarkan golongan wanita bekerja sepanjang PKP ini sebagai pelanggan, ibu tunggal itu tidak menyangka usahanya membuahkan hasil dengan tempahan yang memberangsangkan setiap hari.
Jelasnya, pada peringkat permulaan dia hanya menjalankan perusahaan itu berdua bersama adik saudaranya, namun dalam tempoh dua minggu ini dia sudah mempunyai tiga lagi pekerja serta empat orang penghantar pesanan atau ‘runner’ yang membuat penghantaran seluruh Melaka.
Memulakan rutin seawal jam 5 pagi dengan mengambil bekalan barangan basah secara terus daripada pengedar di Pasar Borong, Batu Berendam, mereka akan terus membersihkan barangan basah yang ditempah pelanggan sebelum penghantaran dibuat berlmula jam 10 pagi.
Dengan upah ‘siang’(membersih) yang sangat berpatutan, pelanggan boleh memilih pakej yang disediakan serendah RM30.
Antara barangan yang ditawarkan seperti ikan siakap, ikan merah, ikan kembung, ayam, udang, sotong dan ketam yang telah siap dicuci bersih.
“Masa itu tercetusnya idea, cuma masa itu kekurangan modal, masa tu tidak ada modal sebab ini pun hendak perlukan modal.
“Kemudian dapat BPN ambil keputusan untuk terus buat, mula-mula kongsi dengan kawan-kawan sahaja. Tempahan pertama cuma lapan set, hari ke hari dia meningkat, semakin meningkat,” katanya lagi.
Sementara itu, Kauthar Hikmah berkata, dia tidak menyangka ‘angan-angan’nya bersama kakak sepupunya untuk memulakan perniagaan sendiri menjadi kenyataan pada musim PKP ini.
Jelasnya, selepas melalui detik sukar hilang punca pendapatan susulan PKP, dia bersyukur apabila tekad mereka memulakan perniagaan ini walaupun dalam keadaan kekangan modal, akhirnya membuahkan hasil.
“Maksudnya timbul idea nak buat benda ini kita terfikir nak dapat mana duit kan. Kami cakap sahaja sebab kita macam bercerita ‘eh kak nanti kita buat macam ini'. Nanti kita berniaga, tetapi niat hati belum lagi sebab siapalah kita.
“Sebab bukan senang, modal dia tinggi apa semua, memang bersyukur sangat (dapat BPN) tidak sangka bila buka, menggalakkan, makin lama makin naik,” katanya.
Mengulas lanjut, mereka hanya mengambil tempahan melalui kumpulan Whatsaap dan penghantaran dibuat kepada kira-kira 40 rumah dalam sehari, bergantung kepada tempahan pelanggan.
#Astro
#Astro Awani
#Bantuan Prihatin Nasional
#barangan basah
#Bersih
#BPN
#coronavirus
#COVID-19
#ibu tunggal
#koronavirus
#PKP
#wanita