Rezeki pengusaha bengkel bertambah pasca banjir
Hafizi Rosli
Disember 27, 2022 12:40 MYT
Disember 27, 2022 12:40 MYT
PASIR MAS: Musibah banjir pastinya memberi impak kewangan yang besar kepada mangsa-mangsa apabila banyak kerosakan harta benda dan kenderaan dihadapi mereka.
Namun tempoh ini juga sebenarnya memberi pintu rezeki buat pengusaha bengkel apabila menerima pelbagai jenis kenderaan untuk dibaiki.
Bagi pengusaha bengkel, Salleh Mohamad, situasi banjir yang dianggap 'luar biasa' kali ini di Rantau Panjang, Pasir Mas menyaksikan banyak kenderaan terjejas.
Jelasnya, jumlah kenderaan yang diterimanya meningkat mendadak kepada puluhan buah dalam tempoh seminggu ketika ini berbanding hanya beberapa buah sebelum ini.
"Saya pun mengusahakan seorang sahaja, lepas banjir ini makin bertambah kenderaan. Tapi saya cuba baiki secepat mungkin.
"Tahulah selepas banjir ini semua nak guna kereta kan. Terpaksa lah saya bekerja sehingga lewat sedikit untuk siapkan semua kereta," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Selasa.
Jelas Salleh, banyak kenderaan yang dinaiki air banjir ini perlu diselenggara dengan baik.
Antara komponen yang perlu ditukar dan terjejas termasuk minyak hitam, minyak gear, tangki dan beberapa lagi komponen lain.
Namun memahami kesulitan kewangan yang dihadapi mangsa banjir, beliau juga berusaha untuk tidak membebankan pelanggannya.
"Saya faham keadaan mangsa banjir, banyak perlu guna duit, jadi saya bantu lah sebaik mungkin untuk tidak bebankan mereka.
"Yang penting mereka dapat kembali gunakan kenderaan itu dan teruskan kehidupan seperti biasa," jelasnya.
Salleh juga turut menjadi mangsa banjir pada kali ini, namun terpaksa menangguhkan proses pembersihan rumahnya kerana perlu membaiki kenderaan yang diterimanya.