Rezeki mencurah-curah, pelajar cemerlang Nurul Asma Alya tidak sangka prihatinnya rakyat Malaysia
Muhafandi Muhamad
Februari 11, 2021 17:42 MYT
Februari 11, 2021 17:42 MYT
TUMPAT: Nurul Asma Alya Mohamad Zainai Abidin, 21, pelajar cemerlang yang dilaporkan tidak dapat menyambung pengajian kerana kekangan kewangan, bersyukur kerana masalahnya selesai selepas kisahnya disiarkan Astro AWANI.
Bekas pelajar Kolej Profesional Mara (KPM) Indera Mahkota itu, terharu kerana masalah dihadapinya mendapat perhatian banyak pihak termasuk orang persendirian.
Nurul Asma Alya menjelaskan, sejak berita berkenaan disiarkan pada Selasa, pelbagai pihak tampil untuk membantu termasuk yang terbaharu adalah pendakwah terkenal Ebit Lew.
Selain Ebit, Nurul Asma Alya berkata, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Yayasan Pelajaran Mara, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta wakil kerajaan negeri adalah antara yang tampil menghulurkan sumbangan dan sokongan.
Selain itu, dia turut memaklumkan menerima kunjungan dan panggilan telefon daripada pelbagai pihak termasuk orang persendirian yang sangat prihatin.
"Antara yang menghubungi saya juga ialah pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menawarkan biasiswa bagi menyambung pengajian peringkat ijazah dalam negara. Bagaimanapun, saya terpaksa menolak tawaran itu dan mengucapkan terima kasih tidak terhingga.
"Ini kerana saya ingin mengambil kursus profesional 'The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA)', bahkan beberapa pihak juga menasihatkan saya untuk mengambil ACCA," katanya kepada Astro AWANI.
Nurul Alya juga kini semakin bersemangat untuk menyambung pengajian di dalam negara selepas segala kelengkapan termasuk tablet dan komputer riba sudah dimiliki.
Ibunya, Nuriha Mohd Nor, 55, turut terharu dengan bantuan yang datang mencurah-curah termasuk sumbangan kewangan yang mana ia kini disifatkan lebih daripada mencukupi.
"Siapa sangka dalam satu hari, selepas berita mengenai Alya disiarkan Astro AWANI, kesannya mengejutkan, Allah permudahkan segalanya, semoga Allah membalas jasa baik dan saya mendoakan agar penyumbang dan semua pihak terlibat mendapat rahmat Allah," katanya dalam nada sebak.
Nurul Asma Alya sebelum ini mendapat perhatian Astro AWANI selepas menyatakan terputus bekalan makanan dan tidak dapat menyambung pengajian akibat kekangan kewangan.
Keadaan lebih meruncing apabila Nuriha tidak dapat berkerja kerana kantin sekolah tempatnya mencari rezeki ditutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
#pelajar cemerlang
#bantuan
#kekangan kewangan
#Tajaan
#MARA
#luar negara
#Ebit Lew
#rakyat Malaysia
#PRIHATIN
#Tumpat
#Nurul Asma
#Nurul Asma Alya