Revolusi senyap berlaku sejak banjir
Astro Awani
Disember 30, 2021 22:45 MYT
Disember 30, 2021 22:45 MYT
KUALA LUMPUR: Sejak bencana banjir melanda beberapa buah negeri baru-baru ini, satu revolusi senyap sedang berlaku apabila rakyat mengambil alih tugas menyelesaikan masalah kemasyarakatan.
Perkara ini berlaku kerana usaha-usaha membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat lebih mudah diselesaikan dengan gerak kerja masyarakat tanpa melibat kerenah birokrasi.
Menurut Pengasas PUSAKA, Penulis dan Wartawan, Eddin Khoo revolusi senyap ini juga berlaku disebabkan oleh kerangka pemerintahan termasuk pembangkang yang terpesona dengan naratif mereka sendiri.
"Saya agak bersimpati sebenarnya apabila kadang-kadang kita melihat pihak menteri membuat 'kerja gila' seperti cuba cuci tempat untuk camera moment, sebenarnya dia tidak tahu cara yang lain.
"Ahli-ahli politik ini tidak kira dari kerajaan atau pembangkang tidak tahu cara yang lain kerana sudah terperangkap dengan budaya politik yang sudah lama berleluasa.
"Saya harap tuntutan untuk mengadakan pilihan raya PBT dibuat dengan lantang dan kalau kita ingat pilihan raya PBT ini merupakan janji bulan bintang Pakatan Harapan pada PRU14.
"Saya agak pelik sudah 64 tahun merdeka, kita masih ada datuk bandar yang dilantik terutama di Kuala Lumpur. Mungkin kita boleh bermula di Kuala Lumpur," ujar Eddin.
Menyokong hujah Eddin itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz menegaskan masalah ini timbul kerana ahli politik melihat usaha membantu rakyat dari kerangka yang lama.
"Saya ambil contoh bila disebut anak muda tanpa kerangka seperti tahun 80-an atau 70-an, bergerak seiring turun padang membantu rakyat.
"Ini menunjukkan apa yang rakyat mahukan daripada ahli politik sebenarnya iaitu rakyat mahu solusi dan kita sendiri turun padang memberi solusi kepada rakyat.
"Saya lebih suka #rakyatjagarakyat berbanding #kitajagakita sebab ini gambaran yang berlaku sejak banjir melanda, malah menjadi bualan di kampung, bahawa rakyat semakin empower, rakyat semakin dibudayakan, rakyat jaga rakyat," kata Muhammad Faisal.
Namun, bagi Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar kemarahan rakyat terhadap ahli-ahli politik ini akan hilang selepas beberapa bulan dan disogokkan dengan wang.
"Sekarang kita tengok, rakyat tengah marah dengan kerajaan tetapi percayalah cakap saya ini, bila diberi RM150, diberi RM300 mereka akan lupa kemarahan ini.
"Percayalah, dengan duit sahaja masyarakat kita akan lupa segala yang mereka tentang, yang mereka marah-marah sebelum ini.
"Duit adalah segala-galanya di negara ini. Sebab itu saya masih lagi menekankan kita perlukan pemimpin yang benar-benar nak menjaga rakyat, benar-benar nak menjaga harta negara.
"Kita memang tidak ada yang itu. Kebanyakkan mereka ini (ahli politik) majoriti ini masuk politik untuk jadi kaya," ujar Akhbar.
Akhbar, Eddin dan Muhammad Faisal berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam program Dialog Tiga Penjuru yang membincangkan topik Tragedi, Malapetaka dan Defisit Kepercayaan.
#revolusi senyap
#rakyat
#ahli politik
#naratif lama
#rakyat jaga rakyat
#Eddin Khoo
#Akhbar Satar
#Muhammad Faisal Abdul Aziz