Revolusi pembelajaran menggunakan internet

Syafique Shuib
November 21, 2013 22:31 MYT
Cara pembelajaran di sekolah harus berubah selaras dengan kemudahan intenet dan penggunaan seperti komputer dan tablet yang sedia ada.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia Dr Mazalan Khamis berpendapat bahawa guru tiada lagi kuasa terhadap ilmu. Para guru kini perlu memberi tugasan supaya murid itu sendiri dapat membuat penyelidikan di alam maya.
“Jika kita berani memperkenalkan internet dalam kelas atau peperiksaan, jadi ini akan menjadi satu revolusi,” kata beliau dalam program Analisis AWANI.
Pengasas dan Pengerusi Sekolah Cempaka Datuk Freida Pilus pula berpendapat bahawa pihak pendidik juga perlu mengajar cara membuat penyelidikan kerana internet mempunyai kandungan yang banyak dan murid-murid perlu bijak mengatur maklumat yang diterima.
“Jika ia tidak dilakukan dengan benar, mereka akan menjadi pelajar yang leka. Kita mungkin anggap mereka sedang belajar kerana terdedah dengan pelbagai maklumat. Bolehkan mereka menjadi lebih peka dalam pembelajaran mereka? Bolehkan mereka menyoal kandungan di Wikipedia?”
Mantan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Noor Rezan Bapoo berpendapat program Sekolah Amanah sudah melahirkan pelajar yang ingin terus mencari ilmu.
“Kita melibatkan pelajar itu (dalam pelajaran). Mereka sendiri dapat berfikir, bertanya dan berbincang bersama rakan-rakan dan terus mencari ilmu,” kata beliau.
#Freida Pilus #Nor Rezan Bapoo #pembelajaran #sistem pendidikan #Yayasan Inovasi Malaysia
;