Revolusi Digital perlu jadi sebahagian DNA kita - Anwar
Rahimah Abdullah
Februari 18, 2019 17:33 MYT
Februari 18, 2019 17:33 MYT
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu revolusi digital yang sedang berkembang hari ini menjadi sebahagian daripada DNA rakyat Malaysia.
Jelasnya, langkah itu menuntut negara melakukan perubahan dalam menguasai revolusi digital selari dengan ciri kemanusiaan.
Namun, negara perlu peka dengan kesan-kesan yang bakal dihadapi dalam melaksanakannya.
"Saya mahu mendorong masyarakat Malaysia untuk menganggap bahawa revolusi digital ini sebagai sebahagian DNA kita, digital native agenda. Namun, saya nak ingatkan juga dengan tiga kesan-kesannya. Pertama, etika, moral dan akhlak itu masih kita pegang. Kedua, daya kreatifnya harus hidup dan ketiganya jangan ia menyebabkan kesenjangan terus merebak," katanya semasa menyampaikan Syarahan Darul Ehsan di Universiti Selangor (UNISEL) di sini pada Isnin.
Anwar turut tidak menolak kemungkinan risiko dalam keadaan negara sedang menguasai revolusi digital dan teknologi maklumat.
"Jika ia tidak diawasi, ia akan menghakis kemanusiaan itu sendiri. Menurut Richard Dawkins, penguasaan Artificial Intelligence (kepintaran buatan) yang merupakan bahaya besar kepada kemanusiaan. Itu kata Tokoh Sains yang terkemuka dunia berkenaan," ujarnya.
#Anwar Ibrahim
#artificial intelligence
#DNA
#kecerdasan buatan
#kemanusiaan
#Malaysia
#presiden
#rakyat
#rakyat Malaysia
#Sains