'Return To Work' Perkeso beri sinar kepada OKU untuk bangkit
Bernama
Oktober 8, 2021 18:54 MYT
Oktober 8, 2021 18:54 MYT
GEORGE TOWN: Meskipun kini dirinya bergelar individu kurang (OKU) akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya sejak 14 tahun lalu, namun ia tidak mematahkan semangat seorang pemuda untuk kembali bangkit menjalani kehidupan seharian menerusi Program 'Return To Work' (RTW) yang dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Muhammad Shakir Mohamad Zakaria, 32, menyifatkan kemalangan yang menimpanya sehingga lumpuh dari paras pinggang ke bawah sebagai satu pengalaman yang mengajarnya erti tidak berputus asa dalam memulakan kehidupan baharu.
"Sejak hilang upaya kekal, kehidupan telah berubah total kerana sentiasa memerlukan sistem sokongan seperti bantuan kerusi roda bagi memudahkan pergerakan untuk melakukan sesuatu pekerjaan.
"Justeru, menerusi RTW ini banyak manfaat yang saya peroleh iaitu bermula dengan faedah rawatan sepanjang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP), bantuan pencen ilat, kemudahan pemulihan jasmani dan vokasional sehinggalah berpeluang mengikuti kelas pentadbiran yang disediakan Perkeso (untuk kembali bekerja) dan akhirnya berjaya mendapat kerja dalam sektor kerajaan sejak lapan tahun lalu," katanya.
Muhammad Shakir yang merupakan anak ketiga daripada enam beradik berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya yang terletak di Kampung Makam di sini hari ini.
Muhammad Shakir berkata, dirinya amat bernasib baik kerana meskipun sempat menjadi pencarum Perkeso tidak sampai dua bulan semasa kejadian kemalangan itu, namun manfaat kebajikan yang diterimanya adalah di luar jangkaan.
Katanya, pembekalan alat pemulihan seperti kerusi roda 'Ultra Light Weight' dan kerusi roda 'Manual Standing' yang berharga belasan ribu ringgit setiap satu sememangnya memudahkan aktiviti harian lebih-lebih lagi ketika bekerja.
"Sesungguhnya saya berasa amat bersyukur dengan adanya program RTW Perkeso ini ia seolah-olah memberi harapan kedua kepada saya dalam meneruskan kehidupan yang lebih baik biarpun dalam kekurangan," katanya.
Sementara itu, Pengurus Perkeso George Town Rafidah Abdul Rahim berkata di bawah program tersebut Muhammad Shakir yang merupakan Orang Berinsurans (OB) akan dipantau oleh seorang pakar pengurusan kurang upaya Perkeso yang membantu dari segi pengurusan kes, perancangan serta pemantauan kes.
"Selain itu pakar tersebut akan melakukan perbincangan dengan doktor pakar, membuat pengesyoran alat pemulihan yang sesuai dengan keperluan pekerjaan, membuat rujukan untuk OB menjalani rehabilitasi fizikal dan vokasional rehab di panel Perkeso yang dilantik selama tiga bulan seterusnya menjalankan aktiviti carian pekerjaan baharu sehingga OB dapat bekerja sehingga sekarang," katanya.
Rafidah berkata, meskipun pencarum mencarum dengan jumlah yang kecil namun pencarum terlibat telah dilindungi di bawah skim Perkeso dengan faedah yang mencecah puluhan ribu ringgit termasuk faedah yang diterima secara tunai mahupun faedah berupa pembekalan alat pemulihan.
"Oleh itu, Perkeso ingin menyeru kepada pekerja yang bekerja sendiri serta majikan yang layak supaya mencarumkan pekerja mereka supaya pekerja boleh dilindungi di bawah skim yang disediakan," katanya.
Terdahulu, Rafidah turut menyampaikan sumbangan kepada Muhammad Shakir berupa barangan keperluan yang turut dihadiri Ketua Jabatan Perubatan Rehabilitasi HPP Dr Zetty Noreeta Mohd Rozali dan Ketua Negeri Cawangan RTW Pulau Pinang Mohd Zaki Zainudin.
-- BERNAMA