Restoran nasi kandar: 'Apa beza dan apa hinanya sektor restoran mamak ni? - Presma

Astro Awani
Oktober 23, 2021 20:23 MYT
Jawahar mendakwa biarpun gaji yang agak lumayan ditawarkan namun warga tempatan tidak berminat untuk bekerja di restoran nasi kandar berbanding di kedai kopi jenama luar negara atau restoran makanan segera. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Rakyat tempatan dikatakan tidak berminat bekerja di restoran nasi kandar menyebabkan berlaku kekurangan pekerja di restoran-restoran tersebut di seluruh negara.
Menurut Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan, pihaknya sudah berusaha menawarkan kerja kepada warga tempatan namun tidak mendapat sambutan.
Jawahar mendakwa biarpun gaji yang agak lumayan ditawarkan namun warga tempatan tidak berminat untuk bekerja di restoran nasi kandar berbanding di kedai kopi jenama luar negara atau restoran makanan segera.
"Saya tak tahu nak komen dalam isu ini, kita bukan nak perlekehkan orang kita tapi orang kita ini mungkin sudah selesa sangat agaknya.
"Warganegara kita mereka sudi bekerja di restoran (berjenama luar negara) dan restoran makanan segera terkenal yang lain.
"Apa beza dan apa hinanya sektor restoran mamak ni, saya pun tak fahamlah," katanya kepada Astro AWANI.
Nasi Kandar | Industri mula terancam kerana tiada pekerja
Menurut Jawahar, pihaknya amat berminat untuk mendapatkan warga tempatan bekerja di restoran nasi kandar kerana ia lebih menjimatkan berbanding pekerja warga asing.
Namun, disebabkan warga tempatan tidak berminat untuk bekerja di restoran nasi kandar maka khidmat warga asing diperlukan.
"Pada hakikatnya kalau warganegara kita sudi bekerja dengan gaji lumayan, kami tidak perlu bergantung dengan pekerja asing.
"Sebenarnya kos pengambil pekerja asing jauh lebih tinggi daripada pekerja tempatan, kami tak perlu buat medical saban tahun nak buat renew semua ini," katanya lagi.
Pada Jumaat Astro AWANI melaporkan perniagaan hampir 200 pengusaha restoran nasi kandar di Pulau Pinang dikatakan berdepan masalah untuk terus bertahan berikutan kehilangan hampir separuh pekerja khususnya perkerja warga asing.
#nasi kandar #pekerja asing #Presma #pulau pinang
;