Restoran milik bekas ADUN Selangor disimbah cat merah
Bernama
Jun 11, 2024 18:38 MYT
Jun 11, 2024 18:38 MYT
KUALA SELANGOR: Restoran milik bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Mohd Shaid Rosli di Bandar Puncak Alam dekat sini disimbah cat merah dalam kejadian pagi tadi.
Beliau berkata perkara itu disedari pekerjanya yang menetap di asrama di bahagian atas kedai berkenaan kira-kira 2.53 pagi tadi selepas terdengar bunyi mencurigakan.
"Pekerja saya kemudian turun untuk memeriksa keadaan serta mendapati bahagian tepi dan hadapan kedai disimbah cat merah dan beberapa peralatan turut terkena cat.
"Selain itu, terdapat juga notis ditampal di dinding restoran yang menuntut penyewa premis sebelum ini untuk menjelaskan hutangnya," katanya ketika ditemui di restorannya hari ini.
Mohd Shaid berkata kerugian dianggarkan kira-kira RM10,000 dan percaya perbuatan itu dilakukan pengutip hutang (Ahlong) yang menuntut hutang daripada penyewa terdahulu yang turut mengusahakan masakan panas.
"Laporan polis telah dibuat pada 12.36 tengah hari tadi di balai polis Saujana Utama untuk keselamatan dan memohon rondaan dijalankan kerana bimbang kejadian itu berulang," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.
-- BERNAMA