Restoran mamak guna robot layan pelanggan, tangani isu kekurangan pekerja
Eton Khir
Februari 14, 2022 06:30 MYT
Februari 14, 2022 06:30 MYT
KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi robotik telah mengambil alih tugas pelayan di beberapa restoran mamak susulan isu kekurangan pekerja akibat pandemik COVID-19.
Tinjauan Astro AWANI mendapati inisiatif berkenaan sebagai satu solusi terbaik bagi mendepani krisis berkenaan susulan kebergantungan majikan terhadap pekerja asing sekaligus mampu memulihkan perniagaan yang terkesan akibat wabak itu.
Di samping itu, rata-rata pelanggan menyambut baik inisiatif tersebut sekaligus menyifatkan ianya mampu mengekang jangkitan COVID-19 dan penularan varian Omicron yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.
Menurut seorang guru tadika, Norasiah Usman, dia teruja apabila pesanannya dihantar robot berbanding kebiasaannya oleh pelayan restoran.
"Terutama sekali apabila saya tengok robot ini, kita rasa seronok, lagi satu ia dapat ikut peredaran masa," katanya ketika ditemui, di sini, pada Isnin.
Sementara itu, seorang pensyarah di Universiti Sunway, S.Gloria, 32, pula berpendapat Inisiatif berkenaan juga boleh mengurangkan kontak sentuhan antara pelayan dan pelanggan dalam mengekang penularan COVID-19 selain mampu mengatasi kekangan pekerja yang dihadapi kebanyakan premis restoran mamak ketika ini.
"Saya berpendapat inisiatif ini sangat bagus untuk dilaksanakan. Selain itu, ianya juga mampu mengatasi kontak secara fizikal atau sentuhan antara pelayan dan pelanggan," katanya.
Pengurus Operasi Francais Q Bistro, Mohd Ubaidah Abdul Karim berkata, premis berkenaan kini mempunyai tiga robot pelayan yang berharga kira-kira RM54,000 setiap satu.
Katanya, pelayan robot ini hanya sekadar penyelesaian sementara namun ia dilihat mampu menjimatkan dari segi kos operasi.
"Perancangan kita sebenarnya dianggap kaedah sementara untuk mengganti di saat kami kekurangan pekerja dan pada masa sama juga sebenarnya permintaan terhadap robot ini sangat tinggi.
"Harganya boleh dikatakan agak mahal hingga mampu mencecah RM54,000 bagi setiap satu robot namun meskipun begitu ianya juga sangat baik bagi jangka masa panjang kerana mampu menjimatkan dari segi kos operasi," katanya
Tinjauan juga mendapati robot di restoran berkenaan telah menjadi perhatian utama pengunjung termasuk anak-anak kecil kerana mempunyai ciri fizikal berbentuk kucing yang mencuit hati termasuk nyanyian 'mode' ulang.
Selain itu, pekerja hanya perlu memasukkan nombor meja pada paparan muka robot berkenaan, dan ia akan terus membawa pesanan kepada pelanggan.