Restoran makanan segera di Seremban 2 diarah tutup sementara

Bernama
Januari 12, 2017 21:58 MYT
Seorang pelanggan restoran terbabit mendakwa minuman coklat yang dibeli di premis itu mengandungi lipas. - Sekadar gambar hiasan
Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) mengarahkan sebuah restoran makanan segera terkemuka di sebuah pasar raya di Seremban 2 di sini ditutup sementara selama 14 hari bermula hari ini berikutan tahap kebersihannya yang kurang memuaskan.
Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan Dr Abdul Rahim Abdullah berkata pihaknya mendapati restoran itu menghadapi masalah kawalan serangga perosak selepas seorang pelanggannya mendakwa minuman coklat yang dibeli di premis itu mengandungi lipas dalam kejadian pada Selasa lepas.
"Kami menjalankan pemeriksaan hari ini selepas gambar minuman coklat yang dibeli di premis itu oleh seorang wanita menjadi tular di media sosial.
"Berdasarkan pemeriksaan JKNS, kita tidak berpuas hati dengan tahap kebersihan premis itu malah mendapati mereka tidak mengambil tindakan kawalan serangga yang sepatutnya," katanya.
Abdul Rahim berkata tahap penilaian kebersihan ke atas restoran makanan segera itu hanya 57.5 peratus menyebabkan premis itu diarah tutup sementara mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
Bagaimanapun, katanya restoran makanan segera berkenaan boleh membuat rayuan selepas isu kebersihan di premisnya diatasi mengikut nasihat yang diberikan oleh JKNS.
Abdul Rahim berkata JKNS juga menyiasat satu lagi rakaman video seorang pelanggan menemui ulat dalam sos sambal di sebuah restoran di Bandar Baru Nilai pada Ahad lepas yang turut tular di media sosial.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut pada Isnin lepas mendapati tempat penyimpanan makanan belum dimasak di premis itu berada dalam keadaan tidak memuaskan.
Premis tersebut dikenakan kompaun RM1,000 mengikut Seksyen 32B Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
"Kita turut mengambil sampel sos sambal di premis itu dan dihantar ke makmal untuk dianalisis sebelum tindakan lanjut diambil," katanya. -- Bernama
#Abdul Rahim Abdullah #Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan #JKNS #Restoran diarah tutup
;