Restoran makanan laut didakwa kenakan caj mahal diberi notis justifikasi - KPDN

Bernama
Oktober 5, 2023 21:13 MYT
Tindakan awal terhadap peniaga itu dibuat mengikut Seksyen 12 Akta Perlindungan Pengguna 1999 kerana meletakkan harga mengelirukan. - Foto: Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Peniaga makanan laut di bandar raya ini yang didakwa mengenakan caj bayaran mahal kepada pelanggan baru-baru ini, diberi notis justifikasi oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor.
Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo berkata tindakan awal terhadap peniaga itu dibuat pada 5.30 petang semalam, mengikut Seksyen 12 Akta Perlindungan Pengguna 1999 kerana meletakkan harga mengelirukan.
Beliau berkata restoran makanan laut itu juga diberi notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 supaya mengemukakan butiran maklumat untuk pengiraan sama ada terdapat elemen pencatutan atau sebaliknya.
"Peniaga terbabit diberikan tempoh empat hari bermula semalam untuk memberi maklum balas terhadap notis dikeluarkan KPDN Johor dengan mengemukakan justifikasi dan maklumat terperinci.
"Tindakan ini bertujuan memastikan sama ada betul atau tidak dakwaan pelanggan bahawa peniaga itu mengenakan kadar harga meragukan dan terlalu tinggi supaya tidak timbul sebarang isu berbangkit," katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.
Sementara itu, Lilis Saslinda menafikan dakwaan bahawa restoran makanan laut itu telah dikenakan tindakan henti operasi, sebaliknya beliau berkata KPDN Johor sedang menjalankan siasatan lanjut.
"Ketika pegawai dan anggota KPDN Johor datang ke restoran itu pada Selasa lepas, mungkin pada hari itu mereka tidak beroperasi. Tetapi, petang semalam mereka beroperasi seperti biasa dan pihak kami dapat mengeluarkan notis.
"Mengapa peniaga masih menjalankan perniagaan? Kita tiada kuasa dalam hal itu. Justeru, saya menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang kenyataan tidak tepat yang boleh menjejaskan imej KPDN Johor," katanya.
Selasa lepas, tular satu video berdurasi 26 saat dan sekeping gambar resit harga bagi restoran makanan laut berjumlah RM1,260 yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Instagram yang juga isteri kepada seorang penyanyi dan penyampai radio Asmawi Ani atau Mawi.
Menerusi hantaran video dan gambar berkenaan, isterinya Nora' Asikin Rahmat atau Ekin meluahkan ketidakpuasan hatinya dengan mendakwa harga yang dikenakan terhadapnya terlampau mahal.
Bagaimanapun, menerusi satu video berdurasi dua minit yang turut tular, peniaga makanan laut itu telah memberi penjelasan berhubung harga dikenakan dengan memaklumkan harga itu adalah untuk hidangan dipesan sebanyak 20 orang.
-- BERNAMA
#restoran makanan laut #Johor Bahru #kpdn #notis justifikasi #Ekin #Mawi
;