Restoran, kedai serbaneka dibenar beroperasi sehingga 2 pagi - Ismail Sabri

Umavathi Ramayah
September 10, 2020 16:57 MYT
Keputusan itu dibuat selepas mendapat gesaan daripada pengusaha terutama di kawasan pelancongan. -Gambar fail
Waktu operasi premis perniagaan termasuk restoran dan kedai serbaneka yang sebelum ini ditetapkan sehingga jam 12 tengah malam kini dilanjutkan sehingga pukul 2 pagi.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat keputusan itu selepas mendapat gesaan daripada pengusaha terutama di kawasan pelancongan.
"Banyak rungutan terutamanya di kawasan pelancongan seperti di Langkawi... mereka terpaksa tutup pukul 12 tengah malam, hiburan pula tidak dibenarkan, kerana kita tidak benarkan dan hanya makan sahaja boleh.
"Jadi pengusaha-pengusaha meminta kita melanjutkan tempoh selama dua jam lagi dan hari ini mesyuarat bersetuju. Bukan sahaja di Langkawi, malah pusat-pusat peranginan lain. Restoran, kedai serbaneka juga boleh dibuka sehingga pukul 2 pagi," katanya pada sidang akhbar di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, warganegara asing kini dibenarkan untuk melakukan ibadat di semua rumah ibadat termasuk masjid dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Mengenai sambutan Hari Malaysia 2020 di Stadium Tertutup Sibu, Sarawak, pada 16 September ini, beliau berkata, individu yang tidak menerima jemputan diingatkan supaya tidak menghadirinya.
Beliau menjelaskan, ketetapan itu diputuskan berikutan situasi pandemik, dengan jemputan dihadkan kepada 500 orang sahaja.
#coronavirus #COVID-19 #ismail sabri yaakob #Langkawi #Majlis Keselamatan Negara #Malaysia #pandemik #PKP #PKPD #SOP
;