Restoran kari kepala ikan terkenal terbakar
Bernama
Februari 25, 2025 10:00 MYT
Februari 25, 2025 10:00 MYT
Sebuah restoran kari kepala ikan terkenal di Kampung Pasir Tinggi, Hulu Terengganu musnah 60 peratus dalam kebakaran yang berlaku pada petang semalam. - Gambar hiasan
KUALA TERENGGANU: Sebuah restoran kari kepala ikan terkenal di Kampung Pasir Tinggi, Hulu Terengganu musnah 60 peratus dalam kebakaran yang berlaku pada petang semalam.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Mohd Khairi Mohd Dali berkata, laporan kejadian diterima pada 5.54 petang sebelum enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Tapai dibantu sembilan anggota BBP Kuala Terengganu digegaskan ke lokasi.
"Dua Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah 'water tanker' serta sebuah kenderaan utiliti tiba pada 6.15 petang berikutan jarak sejauh 20 kilometer.
"Kebakaran melibatkan sebuah kedai makan dianggarkan berkeluasan 15 meter x 18 meter. Anggota menggunakan aliran hos sepanjang 900 meter dan dua pancutan air tangki jentera untuk memadam kebakaran," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, ketika kejadian restoran tersebut dipercayai tidak beroperasi kerana kebanyakan pekerjanya sedang bercuti dan kebakaran itu juga tidak melibatkan mangsa.
Mohd Khairi berkata, punca kebakaran akan dikenal pasti oleh Unit Siasatan hari ini. - BERNAMA