Restoran India berdepan tekanan, kekurangan sehingga 10,000 pekerja asing
Astro Awani
Disember 28, 2022 20:42 MYT
Disember 28, 2022 20:42 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) meminta kerajaan supaya memperhalusi polisi pengambilan pekerja asing dengan memudahkan syarat kemasukan ke negara ini.
Timbalan Presiden Primas, RC Krishnan berkata, sejak COVID-19 melanda negara, mereka berdepan dengan kekurangan kira-kira 7,000 hingga 10,000 pekerja dalam sektor itu.
"Sejak penghantaran pulang pekerja asing ketika COVID-19, kami berdepan dengan masalah kekurangan pekerja.
"Justeru saya meminta kerajaan untuk melihat pada polisi pengambilan pekerja asing yang dilihat rumit sehingga ada di antara kami yang tidak dapat mengambil pekerja asing langsung, disebabkan pelbagai faktor termasuk kelayakan," katanya kepada pemberita pada Mesyuarat Tahunan Primas di sini, pada Rabu.
Majlis tersebut dirasmikan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.
Krishnan menambah, syarat yang ditetapkan kerajaan bukan sahaja merumitkan pengambilan pekerja asing sebaliknya sektor terbabit kini terpaksa berdepan dengan tekanan.
"Sejak 2015 lagi, polisi pengambilan pekerja asing khususnya bagi sektor restoran tidak begitu stabil, setiap kali menteri baharu polisi baharu diperkenalkan," ujarnya.
Menurutnya, sektor perkhidmatan hanya mengambil 14 peratus pekerja asing dengan 2.8 peratus daripada adalah sektor restoran.