Restoran hidang sajian biawak, babi hutan diserbu
Agensi
September 16, 2020 18:36 MYT
September 16, 2020 18:36 MYT
Daging biawak air dan babi hutan adalah antara yang menu yang disajikan kepada pelanggan oleh sebuah restoran makanan eksotik tanpa permit yang beroperasi di Jalan Tanjung Masai di sini.
Daging kedua-dua haiwan itu dirampas oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan polis dalam serbuan di restoran berkenaan pada Selasa.
Pengarah Perhilitan Johor, Salman Saaban berkata serbuan pada 1 tengah hari itu dijalankan dengan kerjasama pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam dan Pasukan Gerakan Am Batalion 3, lapor Bernama.
"Dalam serbuan itu, sebanyak tujuh plastik disyaki daging biawak air dan dua bekas plastik dipercayai daging babi hutan yang disimpan dalam sebuah peti sejuk beku berjaya ditemukan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.
Salman berkata, daging haiwan berkenaan dipercayai untuk dijual kepada pelanggan restoran terbabit untuk dinikmati sebagai makanan eksotik.
Katanya, siasatan lanjut mendapati pemilik premis berkenaan, seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun tidak mempunyai sebarang dokumen atau lesen sah dari Perhilitan untuk menyimpan daging haiwan berkenaan.
Seorang pekerja restoran berkenaan yang merupakan lelaki warga India juga didapati memiliki dokumen perjalanan yang tamat tempoh.
"Siasatan terperinci sedang dilakukan untuk mengetahui sejak bila kedai berkenaan telah menghidangkan menu eksotik itu dan dari mana bekalan diperoleh," katanya.
Kedua-dua suspek kini ditahan di IPD Seri Alam mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (716) kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen sah memiliki bahagian hidupan liar.
#babi hutan
#biawak air
#daging eksotik
#hidang
#Johor
#juadah
#masai
#Perhilitan
#polis
#restoran
#sajian