Restoran di Sandakan diarah tutup 14 hari akibat terlalu kotor
Radhi Muslim
Mac 9, 2022 11:38 MYT
Mac 9, 2022 11:38 MYT
SANDAKAN: Bahagian dapur memasak yang becak dan kotor, sisa makanan bertaburan di atas lantai belakang premis, bahan masakan terdedah, tong sampah tiada penutup, itu antara keadaan sebuah restoran di Bandar Avenue, Sandakan, yang kritikal sehingga diarah tutup serta-merta oleh Jabatan Kesihatan Sandakan dalam satu operasi pada Selasa malam.
Pegawai Kesihatan Sandakan, Dr Johari Awang Besar berkata, restoran berkenaan dikenakan perintah tutup selama 14 hari dan diarah agar segera menjalankan kerja pembersihan.
"Bagi kedai yang kita lawat itu ada banyak kesalahan, saya rasa kita perlu tutup sebab pemarkahannya sangat rendah, bawah 65 markah.
"Antaranya tahap yang kritikal di bahagian dapur, di bahagian tempat membancuh air, saya sudah tegur tadi kepada pemilik dan kita minta kena buat perubahan drastik," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menjalankan operasi berkenaan.
Dr Johari berkata, secara keseluruhannya, dalam operasi itu sebanyak 14 buah premis diperiksa dan hasilnya sebuah premis restoran diarah tutup.
Manakala, lapan lagi notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, antaranya ada pekerja tidak melakukan pemeriksaan kesihatan dan tiada tanda amaran larangan merokok.
Beliau turut menasihatkan peniaga restoran di daerah itu agar sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan pihaknya.
"Saya ingin menasihatkan semua pemilik premis makanan supaya patuhilah kepada Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang mana kita sudah beritahu lebih awal tentang 30 perkara yang mereka perlu patuhi
"Ini antara yang sangat penting kerana setaip premis makanan mesti pastikan makanan yang disediakan kepada pelanggan itu adalah makanan yang sihat, selamat dan berkualiti untuk mengelakkan berlakunya keracunan makanan yang boleh menyebabkan wabak dan juga boleh menyebabkan suatu malapetakalah kepada pelanggan-pelanggan di restoran tersebut,” katanya.
Dr Johari turut menyarankan pelanggan restoran di daerah itu agar tidak segan silu melakukan tinjauan sendiri ke bahagian dapur restoran demi kesihatan mereka sendiri.