Restoran di Pantai Chenang musnah dijilat api

Adie Sufian Zulkefli
Disember 8, 2024 06:00 MYT
Dua restoran di Jalan Pantai Chenang, Langkawi musnah dalam kebakaran malam tadi. Menurut bomba, sebuah restoran jenis bangunan kelas A musnah 100 peratus manakala restoran bersebelahan jenis kelas yang sama musnah 90 peratus. - Foto JBPM Kedah
LANGKAWI: Pengunjung di Pantai Chenang, di sini, bertempiaran lari sebaik melihat api menjulang tinggi dalam kejadian kebakaran melibatkan sebuah restoran, malam tadi.
Ketua Zon Langkawi, Penguasa Bomba Mohd Zamri Abdul Ghani berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 berkaitan berlaku kebakaran di sebuah premis pada jam 8.11 malam.
Beliau berkata, sepasukan anggota bersama tiga jentera bersama sebuah ‘Water Tanker’ dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi api marak menjulang sehingga menyambar tiang elektrik. Tindakan pantas anggota melakukan pemadaman dengan satu aliran dua pancutan pada bahagian kiri dan kanan restoran terbabit, manakala dari belakang premis pemadaman dilakukan dengan semburan air dari jentera bomba.
“Kebakaran turut merebak ke sebuah restoran lain yang berada bersebelahan. Turut terbakar sebuah kereta Proton Saga BLM,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Mohd Zamri berkata, restoran itu musnah hampir 100 peratus, namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Katanya, punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan.
#kebakaran #restoran terbakar #restoran di Pantai Chenang #kemalangan jiwa
;