Restoran dekat Pulapol musnah terbakar
Adie Sufian Zulkefli
Ogos 31, 2022 23:15 MYT
Ogos 31, 2022 23:15 MYT
LANGKAWI: Sebuah restoran yang terletak berdekatan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Langkawi, musnah dalam kebakaran, pada Rabu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 7.15 malam.
“Sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba Penyelamat Langkawi dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba api sedang marak membakar seluruh premis restoran terbabit dan anggota bomba mengambil masa 15 minit untuk memadam kebakaran,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Mohamadul Ehsan berkata, kebakaran itu mengakibatkan kemusnahan hampir seratus peratus bangunan berkenaan.
Katanya, pasukan Forensik JBPM sedang menyiasat lanjut punca kebakaran.